Tidak dapat dibayangkan perasaan seorang wanita apabila dia secara tiba-tiba telah didatangi oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika berada di parkir kereta. Lebih mencemaskan apabila individu berkenaan cuba membuka pintu di bahagian tempat duduk penumpang keretanya.
Detik cemas ‘diserang’
Menerusi video yang dikongsikan May Qi di Facebook miliknya memaparkan ketika itu dia berada di dalam keretanya yang diparkir di Mid Valley Megamall pada jam 9:36 malam. Menceritakan kisah itu, May Qi memberitahu kejadian itu berlaku pada 6 Ogos 2020, ketika dia ingin pulang ke rumahnya dan tiba-tiba dia melihat ada seorang lelaki datang menghampiri kenderaannya sambil muka ditutup dengan selendang. Menurut wanita ini, lebih kurang 2 minit selepas itu, lelaki yang tidak dikenali telah memukul dan memecahkan cermin sisi selain cuba membuka pintu kereta tersebut.
Keadaan lebih tegang selepas individu itu menyedari kereta tersebut telah berkunci. Dia kemudian cuba pula membuka pintu kereta bahagian tempat duduk belakang. May Qi yang cemas terus membunyikan hon untuk meminta pertolongan. Wanita ini juga sempat merakam kejadian yang menimpa dirinya.
Bunyikan hon minta bantuan
Namun tidak lama selepas itu, pengawal keselamatan telah datang untuk menghulurkan bantuan. Video pendek itu turut memperlihatkan individu terbabit berjalan dengan tenang seolah-olah tiada apa yang berlaku. Difahamkan, May Qi telah melaporkan insiden yang menimpanya itu kepada pihak pengurusan Mid Valley Megamall. Dalam pada itu, wanita ini sempat menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika berada di luar.
Respon pusat beli-belah
Sementara itu, pihak pengurusan Mid Valley Megamall menerusi akaun Facebook telah mengesahkan kejadian yang berlaku di kawasan parkir kereta tersebut. Menurut mereka, pengawal keselamatan yang menyedari kejadian itu telah datang membantu dan menghalang lelaki berkenaan daripada terus bertindak agresif. Hasil daripada pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek merbahaya yang ditemui dan tiada sijil pengenalan. Dia telah dihantar keluar daripada pusat membeli-belah itu.
Sumber: May Qi, Mid Valley Megamall