Penyanyi, Shila Amzah mendedahkan bahawa dia mengambil keputusan untuk berdiam diri dan tidak mahu memberikan sebarang komen mengenai kemelut keluarga yang dihadapinya sejak kebelakangan ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Saya Dah Sampai Tahap Di Mana Kesabaran & Kehormatan Saya Dicabar’ – Shila Amzah
Sedia jumpa ibu
Ketika ditemui OhBulan!, Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah berkata, dia berharap agar kemelut keluarga yang dihadapinya ini dapat diselesaikan secepat mungkin.
Buat masa ini saya mengambil keputusan untuk berdiam diri dan membiarkan perkara (kemelut) ini reda terlebih dahulu sebab setiap perkara itu memerlukan masa.
Saya dan Syahir berdoa agar perkara ini dapat reda dan diselesaikan secepat yang mungkin sebab saya tak berani nak cakap lebih-lebih sebab perkara ini melibatkan hal keluarga kan?
Shila berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sidang media konsert minggu pertama Famili Duo 3 yang diadakan di Studio NTV7, Glenmarie, Shah Alam pada malam Ahad.
Sementara itu, ketika ditanya adakah akan berjumpa dengan ibunya, Fauziah Sarman dalam waktu yang terdekat? Pelantun lagu ‘Beribu Sesalan’ itu memaklumkan bahawa dia bersedia untuk berjumpa namun menyerahkan segalanya kepada takdir dan waktu.
Sudah tentu saya okay untuk berjumpa dengan ibu sebab dia mak kan? Cuma waktu bila tu biar masa dan jodoh yang menentukan.
Saya taknak paksa sesuatu perkara itu untuk berlaku jadi saya kena tunggu dan bersabar dan biarkan sesuatu perkara itu berlaku secara semula jadi.
Terdahulu, kemelut keluarga antara Shila dan dua adiknya iaitu Syafiq dan Syada bermula apabila Syada mendakwa rumah banglo yang didiami mereka mahu dijual penyanyi berkenaan.
Shila kemudiannya membuat pengakuan bahawa ingin menjual rumah tersebut kerana ingin mencari rumah baharu buat keluarganya.
Walau bagaimanapun, adik lelaki Shila iaitu Syafiq menafikan kenyataan tersebut dengan mendakwa bahawa Shila bertindak sedemikian kerana wang.
Tidak lama selepas itu, ibu Shila juga dilihat memuat naik hantaran mengatakan dirinya seolah-olah sudah tidak mengenali anaknya itu.
Namun Fauziah dilihat memadam hantaran tersebut beberapa minit kemudian.