Pelawak Shuib dan Mamat mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menjalinkan kolaborasi bersama satu agensi umrah yang tular sebelum ini bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Mungkin Belum Rezeki Kita Nak Pergi Umrah Bulan Puasa Ni’ – Shuib
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Shuib Buat Kejutan Belanja Mamat & Isteri Tunai Umrah Pada Bulan Puasa – ‘Hati Pernah Terdetik, Alhamdulillah Allah Mudahkan’
Tarik diri
Ketika ditemui OhBulan!, Shuib atau nama lengkapnya, Shahmira Muhamad memaklumkan, mereka mengambil tindakan sedemikian selepas terdapat aduan berkenaan agensi umrah tersebut yang tular di media sosial.
Ada sedikit masalah tetapi saya tidak mahu panjangkan dan besarkan.
Kami bersetuju dengan apa yang ditawarkan oleh agensi umrah sebelum ini. Tetapi selepas melihat isu yang tular, jadi kami ambil pendekatan untuk tidak lagi terlibat.
Walau bagaimanapun, pelawak berusia 41 tahun itu menegaskan bahawa tiada sebarang konflik yang berlaku di antara mereka dengan pihak agensi berkenaan malah mereka menarik diri dengan cara baik.
Kami juga putuskan kepada mereka untuk tidak lagi menggunakan nama dan wajah kami sebagai promosi.
Tetapi saya pun tidak mahu menilai mereka, kita tidak tahu masalah orang dan harapnya mereka dapat selesaikan isu tersebut dengan baik.
Alhamdulillah pihak agensi tersebut juga faham dengan keputusan yang kami ambil.
Dalam masa yang sama, Mamat atau nama lengkapnya Mohd Noor Murad berkata, langkah tersebut diambil kerana mereka tidak mahu terbabit dengan sebarang masalah.
Sebenarnya agensi tersebut tidak pernah menipu kami, malah kumpulan kami yang akan ke sana tiada sebarang masalah dan boleh teruskan untuk menunai umrah.
Namun timbul rasa kerisauan, sebab itu kami tidak mahu teruskan.
Shuib dan Mamat berkata demikian ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di pejabat Nuh Travel & Tours Sdn Bhd pada Selasa.
Bawa ahli keluarga
Sementara itu, Shuib dan Mamat mengucapkan rasa syukur apabila, agensi umrah dan pelancongan Nuh Travel & Tours Sdn Bhd sudi untuk menaja mereka serta keluarga ke Tanah Suci.
Alhamdullah dipertemukan dengan Nuh Travel dan dapat bawa Mamat bersama DJ Khai serta ahli keluarga kami bersama. Terima kasih kerana yakin dengan kami untuk bawa ke Tanah Suci. Dapat beraya di sana insyaAllah.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Nuh Travel & Tours Sdn Bhd, Mohd Adam Jalalel Din berkata, pihaknya berbesar hati untuk menawarkan pakej umrah kepada mereka malah menjanjikan perkhidmatan terbaik untuk semua jemaah di bawah agensi itu.
Dengan kepercayaan yang diberikan oleh mereka, kami cuba jalankan amanah ini dengan baik supaya mereka dapat melakukan umrah dengan tenang. Yang penting dapat sampai ke ‘rumah Allah.’
Trip ini bukan sekadar umrah, kita akan ke Dubai dengan kolaborasi bersama Dubai Tourism dan Emirates.
Terdahulu, Shuib dan Mamat terpaksa menangguhkan hasrat ke Tanah Suci pada bulan Ramadan berikutan syarikat agensi umrah yang dipilih didakwa tidak telus dalam menguruskan jemaah ke Tanah Suci.