Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menasihati golongan selebriti untuk sentiasa menjaga tingkah laku terutama ketika sedang melayani peminat.
Artikel Berkaitan: Pendam Impian 9 Tahun, Siti Nurhaliza Syukur Satu Pentas Dengan David Foster
Artikel Berkaitan: Siti Nurhaliza Kesal Jadi Mangsa Fitnah- ‘Cukup Cukuplah, Saya Ini Penyanyi Hiburkan Semua Orang’
Tolak dengan adab
Ketika ditemui Oh Bulan!, Siti berkata bergelar selebriti sudah pasti mereka sedia maklum bahawa setiap tindakan akan diperhatikan oleh peminat. Justeru, mereka perlu mempamerkan akhlak yang baik depan khalayak ramai.
Menurutnya, sekali pun ingin menolak permintaan peminat untuk bergambar bersama, perlu dengan cara yang beradab dan sopan.
Untuk artis, kita semua manusia ada hati dan perasaan. Dalam kerjaya artis ini sudah meletakkan diri kita sebagai seorang public figure yang orang akan sentiasa nilai dan nampak apa sahaja tindakan serta tindak balas terhadap masyarakat.
Jangan biarkan orang menilai artis itu dengan begitu mudah sekali, jagalah akhlak. Bukan saya kata, artis tidak boleh buat salah, manusia biasa akan sentiasa buat salah. Saya sendiri ada kekurangan.
Namun apabila pergi kepada masyarakat dan peminat terutamanya, memang perlu hargai sangat-sangat. Kalau mahu menolak permintaan peminat, perlu dengan adab supaya peminat tidak menilai artis itu buruk.
Siti berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kontroversi yang melibatkan sikap beberapa selebriti tanah air yang didakwa sombong dengan peminat serta trend yang tular di laman sosial iaitu ‘nicest/rudest celebrities’.
Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Taruddin, 44, berkata tidak adil untuk menilai seseorang selebriti itu hanya dengan sekali pertemuan sahaja.
Menurut Siti, selebriti juga manusia biasa yang ada harinya baik dan ada kalanya kurang baik.
Susah untuk menilai orang hanya dengan kali pertama berjumpa. Sebab mungkin ketika peminat jumpa artis itu ketika keadaan tidak mengizinkan atau sedang mengalami masalah sehingga artis tersebut respon yang kurang mesra.
Mungkin hari pertama peminat jumpa artis itu dia tidak okay, tapi bila jumpa sekali lagi artis itu baik sahaja layanannya. Tidak adil menilai dengan pertama kali jumpa, semua orang ada hari buruk.
Sekiranya trend tersebut untuk seronok, saya rasa ia kurang sesuai. Mendengar perkataan ‘rude’ itu sahaja sudah tidak seronok. Tetapi itu lah media sosial, orang boleh menilai apa sahaja. Seeloknya mengenali dulu artis sebelum menjatuhkan apa-apa tanggapan, itu lebih baik.
Nangis layan peminat
Sementara itu, pelantun lagu Jerat Percintaan itu mendedahkan dia pernah menangis suatu ketika dulu disebabkan terlalu penat melayani peminat.
Saya banyak belajar daripada peminat saya sendiri. Pernah juga suatu ketika dulu, sewaktu zaman muda saya tak larat layan peminat sampai saya menangis.
Saya percaya peminat akan faham kalau artis itu menolak dengan baik, mereka pun tidak memaksa.
Setiap kali peminat ajak bergambar saya akan pujuk diri sendiri dan cakap dalam hati, saya akan berada di tempat mereka sekiranya berjumpa dengan artis yang amat digemari. Saya cuba meletakkan diri saya di tempat peminat.
Nak tak nak, artis perlu akur yang peminat merupakan kekuatan artis untuk terus bertahan. Apa-apa pun untuk puaskan hati semua orang, memang agak susah.
Dua-dua pihak kena saling memahami, kalau betul peminat itu sayang artis mereka, mesti faham keadaan artis tersebut.