Bekas ratu cantik Rusia iaitu Natalya Dolganovskaya telah ditahan oleh pihak polis selepas dipercayai menyerang seorang pekerja di pasar raya. Lebih mengejutkan apabila Natalya yang berada dalam keadaan beremosi cuba untuk menikam individu tersebut.
Mangsa tiba-tiba diserang
Menerusi laporan yang dipetik daripada Daily Star, sebelum kejadian, bekas ratu cantik Miss Ulyanovsk pada 2005 itu telah menjerit dan menyatakan kebenciannya terhadap wanita itu. Natalya kemudian bertindak agresif dengan menikam mangsa berkali-kali dengan menggunakan sebilah pisau. Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan Natalya dan pekerja tersebut sedang bergelut di bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar raya Gulliver.
Namun, seorang pelanggan dan pekerja lain yang menyedari kejadian tersebut telah membantu menyelamatkan mangsa yang pada ketika itu sudah berlumuran dengan darah. Pekerja berkenaan segera merampas pisau suspek yang berada di lantai sementara pelanggan terbabit membantu menghentikan pengaliran darah di luka mangsa.
Mangsa dikejarkan ke hospital
Paramedik yang tiba tidak lama selepas itu telah membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Hasil daripada pemeriksaan mendapati mangsa mengalami tujuh kecederaan pada bahagian kepala, leher, tangan dan tulang belakangnya. Difahamkan, mangsa kini sudah pulih selepas mendapatkan rawatan di hospital.
Bekas ratu cantik itu ditahan oleh polis dan anggota Jawatankuasa Siasatan Rusia setelah melarikan diri dari tempat kejadian. Sementara itu, seorang saksi mengatakan penyerang ‘tiba-tiba mengamuk di pasar raya’. Menurut sumber, Natalya telah memenangi mahkota ratu cantik ketika usianya 18 tahun dan seterusnya mendirikan rumah tangga bersama seorang hartawan iaitu Vadim Dolganosvsky. Tetapi sayangnya, selepas enam tahun bersama, pasangan ini membuat keputusan untuk berpisah. Natalya terpaksa meneruskan hidup sendirian dan bekerja di kedai milik bekas suaminya selain berdepan kesulitan hidup.
Sumber: Daily Star, Daily Mail, Youtube