Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial mengenai majlis perkahwinan sepasang pengantin baharu yang agak meriah dan mewah. Tak dinafikan, ramai dalam kalangan netizen menyangka pasangan ini berasal dari Malaysia tetapi rupa-rupanya mereka berasal dari negara Thailand.
Pasangan pengantin viral
Perkahwinan pasangan ini menjadi tarikan ramai kerana konsep majlisnya persis seperti majlis perkahwinan rakyat Malaysia. Pengantin lelaki yang dikenali sebagai Chan Chai merupakan pemilik sebuah butik baju melayu terkenal dan model negara Thailand. Difahamkan, Chan Chai mempunyai kacukan Malaysia-Thailand dan datuknya kini menetap di Rantau Panjang, Kelantan.
Tetapi apa yang lebih menarik perhatian ramai adalah hantaran mewah yang diberikan kepada pengantin perempuan iaitu wang berjumlah 700,000 baht bersamaan RM86,814.36 serta dua bekas kecil berisi loket emas dan beberapa barang perhiasan lain.
Menerusi video yang dikongsikan, Chan Chai yang mengenakan sepersalinan baju melayu berona putih telah diiringi ahli keluarga dan rakan-rakan naik ke tingkat atas rumah untuk bertemu dengan pengantin perempuan. Kedua-dua pengantin dilihat bertukar sebak saat bertentangan mata sebelum Chan Chai mengucup lembut dahi isterinya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengucapkan tahniah kepada pasangan ini dan mendoakan agar mereka dapat melayari perkahwinan dengan bahagia. Tidak kurang juga, ada di antara mereka menyifatkan pasangan ini sangat serasi bagai pinang dibelah dua.
Video
Wang hantaran RM86K
Sumber: TikTok Chan Chai, Ismaee, Prasit