Sejak kebelakangan ini, negara dikejutkan dengan beberapa isu jenayah seksual yang melibatkan golongan pendakwah terkenal.
Terbaharu, OhBulan! tampil mendapatkan respon pendakwah bebas iaitu Ustazah Norhafizah mengenai isu ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Mahkamah Tinggi Tetap 5 November Sebagai Tarikh Sebutan Semula Kes Da’i Syed
Tiada yang selamat dari berbuat dosa
Menurut Ustazah Norhafizah isu jenayah seksual melibatkan golongan pendakwah jelas menunjukkan bahawa setiap manusia di muka bumi ini tidak terlepas daripada berbuat dosa.
Walau bagaimanapun, Norhafizah meminta masyarakat untuk tidak pukul rata dan memberikan persepsi yang negatif kepada golongan pendakwah yang sentiasa berusaha berkongsi perihal agama.
Bak kata pepatah, ‘Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’ dan tak dinafikan ada orang yang dah belajar agama tapi akhirnya terlibat dengan perkara-perkara yang sebegitu.
Pada ustazah, itu adalah satu realiti yang menunjukkan bahawa tiada golongan yang selamat daripada melakukan dosa.
Ujian ini bentuknya bermacam-macam cuma kita tak bolehlah nak pukul rata kata semua orang begitu.
Tengok pada nisbahnya juga, kalau ada 10 orang ustaz tak adalah sembilan daripadanya begitu kan? Kita perlu berlaku adil.
Terlalu mudah beri gelaran ‘ustaz’
Dalam pada itu, pemilik nama Norhafizah Musa menyuarkan pendapat bahawa kebanyakan masyarakat hari ini terlalu mudah untuk menggelarkan seseorang itu sebagai pendakwah hanya melalui luaran yang ditonjolkan.
Ustazah lebih suka kalau gelaran bagi pendakwah dan asatizah ini diberikan mengikut definisi yang tepat.
Minta maaf cakap tapi kadang-kadang masyarakat hari ini terlalu cepat menggelarkan seseorang itu ustaz, imam atau pendakwah.
Sebenarnya pendakwah ini perlu ada kriteria dan syarat yang begitu penting kerana tidak mahu menjadi fitnah kepada agama.
Bukan bermakna kalau pakai kopiah saja boleh digelar ustaz. Kalau bercakap mengenai agama saja boleh digelar pendakwah.
Banyak benda yang perlu dilihat sebenarnya tapi bila kita melonggarkan gelaran itu, fitnah-fitnah sebegini pasti akan terjadi.
Nasihat buat pendakwah
Di akhir perkongsian, Norhafizah berharap mereka yang bergelar pendakwah tidak mengambil kesempatan menggunakan gelaran yang diberikan dengan melakukan perkara yang tidak bermoral.
Ujar pendakwah berusia 49 tahun, mereka mempunyai satu tanggungjawab yang besar iaitu menyebarkan ilmu tentang Islam kepada masyarakat.
Saya harap para pendakwah, khususnya mereka yang dihormati masyarakat serta popular ini perlu guna dan manfaatkan populariti mereka untuk perkara yang baik.
Mereka perlu menjaga peribadi mereka kerana mereka membawa pengaruh yang besar bahkan mereka ini seperti duta kepada agama.
Mereka perlu ada satu tanggungjawab dan jangan anggap gelaran pendakwah itu memberikan kebenaran untuk buat apa saja yang disukai. Kalau tak, jangan pakai nama ‘pendakwah’ sebab kita perlu jaga banyak hal.