Penyanyi dan komposer lagu nasyid, Hafiz Hamidun mendedahkan wajahnya telah disalahgunakan sebagai ‘love scam’ oleh pihak tidak bertanggungjawab di Indonesia.
Artikel Berkaitan: ‘Buat Masa Ini Belum Ada Calon Lagi, Jika Ada Saya Tak Akan Berahsia..’ – Hafiz Hamidun
Sindiket ‘love scam’
Ketika ditemui OhBulan!, Hafiz atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Hamidun berkata, disebabkan itu dirinya kini telah menjadi ‘buruan’ wanita-wanita di sana.
Wajah saya kini menjadi buruan di Indonesia kerana ‘love scam’, tetapi itu bukan saya.
Mereka menggunakan wajah saya tetapi dengan nama yang berbeza.
Tambah Hafiz, pihak yang tidak bertanggungjawab itu juga melakukan sindiket penipuan wang dengan cara berjanji untuk berkahwin dengan mana-mana wanita menggunakan wajahnya.
Setiap hari bahkan sampai hari ini saya masih menerima laporan polis dan ‘screenshot’ mengenai kes ‘love scam’. Ramai yang telah ditipu di sana.
Mereka juga menggunakan wajah saya untuk menipu wang orang lain.
Ada yang sampai berjanji untuk berkahwin, memaksa saya untuk menjelaskan bahawa semua itu hanyalah penipuan semata-mata
Hafiz berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert 5 Rukun 2.0 yang diadakan RCDBig Studio, Plaza Alam Sentral Shah Alam.
Wanita Indonesia jatuh cinta
Lebih parah, mangsa-mangsa penipuan ini kemudiannya mula mencari dan menghantar mesej kepada Hafiz menerusi media sosial selepas mereka sedar telah ditipu pihak tidak bertanggungjawab.
Ada di antara mereka yang mula jatuh cinta dengan Hafiz dan mengajaknya untuk berkahwin.
Mangsa telah memberikan wang kepada scammer, dan jumlahnya dalam puluhan ribu ringgit. Selepas ditipu, watak tersebut hilang, dan mangsa mula mencari siapa saya.
Mereka cuba menghantar mesej (DM), tetapi saya tidak mahu bersikap terlalu kasar kerana mereka hanyalah mangsa love scam.
Mereka pada mulanya tidak tahu siapa saya, tetapi selepas ditipu oleh scammer yang menggunakan wajah saya, mereka mula mengenali saya dan ada yang jatuh cinta.
Walau bagaimanapun, Hafiz menjelaskan bahawa dia tidak boleh membuat laporan polis di Malaysia memandangkan isu ini berlaku di Indonesia.
Tambah Hafiz, dia bimbang sekiranya wajahnya akan dikaitkan pula dengan kes jenayah di sana.
Saya tidak boleh membuat laporan polis di Malaysia, jadi saya terpaksa memberitahu mereka bahawa laporan polis perlu dibuat di Indonesia.
Setakat ini, saya telah melaporkan lebih daripada dua ribu akaun palsu.
Apa-apa pun, saya tetap bimbang jika scammer menggunakan wajah saya hingga melibatkan kes jenayah.