Selebriti versatil, Zizan Razak mendedahkan dirinya berdepan dengan kerugian mencecah jutaan ringgit selepas menjadi mangsa penipuan beberapa pihak yang dipercayai telah mengambil kesempatan terhadap dirinya.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ditipu Dalam Bisnes, Zizan Razak Bangkit Dengan Semangat Baru – ‘Saya Harap Korang Sokong Saya’
Rugi jutaan ringgit
Lebih menyedihkan Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak mendakwa ada beberapa individu yang menghilangkan diri selepas diberikan pinjaman kewangan.
Yang isu scam itu bukan bisnes baju Melayu tapi perniagaan sebelum-sebelum ini.
Sebelum ini ada yang nak pinjam duit, ada juga yang nak jalinkan perniagaan dengan saya.
Tapi bila minta bayaran semula mereka terus hilang, nilai mencecah jutaan juga.
Untuk orang seperti saya nilai itu memang besar.
Zizan berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada sesi sidang media Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025 yang diadakan di The Ground, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Serah segala pada Allah SWT
Tambah Zizan, mereka yang sukar untuk membayar hutangnya itu bukanlah orang asing tetapi merupakan individu yang dikenalinya.
Yang rapat pun ada, tak rapat pun jadi rapat sebab duit.
Saya harap apa yang berlaku bukan dengan niat tapi tidak tahulah bila telefon tidak diangkat berbeza dengan awal-awal berkenalan dan mengajak berniaga.
Saya tetap bertanya tapi tidak mengemis. Dari kejar macam pengemis lebih baik saya memilih terus berkerja kerana Allah masih beri rezeki dan peluang.
Walau bagaimanapun, pelakon filem ‘Polis Evo 3’ ini memaklumkan dirinya tidak menyimpan dendam sebaliknya menyerahkan kepada Allah SWT untuk membalas segala perbuatan mereka.
Ujar Zizan, dia yakin individu yang tidak membayar hutang itu tidak akan mampu untuk hidup dengan tenang.
Alhamdulillah saya masih tersenyum, mungkin ada kesilapan dari saya punca berlaku perkara sebegini, mungkin juga Allah nak uji saya dan dia.
Saya lihat orang seperti ini tidak senang pun, kalau senang pun tak tenang. Saya tahu tidur mereka tak lena.