Foto: Penang Kini
Sebelum ini, tular dua video di media sosial yang memaparkan seorang anggota polis mengalami kecederaan berikutan tali tangsi yang ditemui di Kilometer (KM) 129.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Sungai Dua.
Insiden tersebut telah mengakibatkan lelaki itu mengalami cedera di bahagian leher. Pada mulanya, timbul spekulasi insiden tersebut berlaku angkara sabotaj daripada individu yang tidak bertangunggjawab.
Bukan angkara sabotaj
Foto: Penang Kini
Lapor Berita Harian, pihak polis telah menafikan wujudnya unsur sabotaj dalam insiden yang berlaku Ahad lalu. Menerusi siasatan yang dibuat, tali tangsi itu merupakan tali layang-layang yang dipercayai telah terputus sebelum terjatuh di tempat kejadian. Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di Bertam.
Anggota polis itu dalam perjalanan dari Hospital Bukit Mertajam (HBM) ke IPD Seberang Perai Utara untuk menghantar gari dan melalui lebuh raya PLUS dengan menunggang motosikal di lorong kiri. Apabila tiba di KM129.6 pada jam 4.30 petang dia merasai bahagian lehernya tersangkut pada benda yang melintang atas jalan berkenaan dan menyebabkan lehernya terluka.
Tali tidak terikat dengan mana-mana objek
Foto: Tangkap layar video
Beliau berkata anggota polis itu kemudian memberhentikan motosikalnya bagi membuat pemeriksaan sebelum mendapati terdapat tali tangsi yang melintangi jalan dari sebelah kiri ke kanan di laluan arah bertentangan. Anggota polis itu seterusnya mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas (HKB) sebagai pesakit luar ekoran kecederaan dialaminya.
Ujar Noorzainy lagi, hasil siasatan yang dijalankan pihak polis menjumpai tali tersebut dalam keadaan berselerak di sekitar rumput di bahu jalan sebelah kiri. Bahkan, tali tersebut tidak terikat pada mana-mana objek.
Temubual anggota peronda PLUS yang bertugas ketika kejadian memberitahu ini adalah kejadian pertama di lebuh raya dan seorang saksi memaklumkan kemungkinan tali layang-layang yang terputus.
Saksi dan rakan setugas kemudiannya mengesan objek di tempat kejadian dan menjumpai tali tangsi dari atas pokok susur keluar Sungai Lokan hingga ke bahu kiri lebuh raya dan tidak merentang laluan lebuh raya yang mana tindakan untuk mengeluarkan tali itu terus diambil bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
Sumber: Berita Harian & Penang Kini