Memang sudah menjadi lumrah bagi setiap pasangan suami isteri untuk sentiasa berkongsi suka dan duka bersama-sama. Begitulah kisah yang dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook, Nurul Syakilla yang menceritakan pengalaman hidup pasangan warga emas ini yang sanggup sehidup semati dan menghabiskan masa tua mereka bersama-sama.
Kasih sayang Pak Ngah dan Mak Ngah
Kisah pasangan ini tular di media sosial semalam. Melihat gambarnya pun sudah cukup merentap perasaan kita, inikan pula berhadapan dengan mereka. Di sebalik kedaifan mereka, tersisip indah kehebatan kasih sayang pasangan ini. Pasangan ini ada dua orang anak, seorang lelaki dan seorang perempuan.
Yang perempuan ada masalah mental dan tinggal bersama di tingkat atas rumah papan itu. Akibat sakit mentalnya, dia sering mengamuk dan merosakkan apa sahaja yang ada di sekelilingnya. Anak lelaki pula, seorang duda yang kematian isteri. Tidak tinggal berdekatan tetapi dia ada menziarahi orang tuanya. Makan dan minum pasangan ini diuruskan oleh waris terdekat yang tinggal berhampiran.
Tidak boleh dipisahkan
Adam Bin Harun berusia 94 tahun atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah. Seorang yang sangat tegas dengan keputusan dan prinsipnya. Bukan mudah hendak berunding dengan beliau kerana walaupun dalam keadaan lanjut usia, beliau akan memprotes sebarang keputusan yang tidak dipersetujuinya. Bahkan beliau tidak mengizinkan para petugas kesihatan menyentuh beliau pun.
Pasangan ini akhirnya telah berjaya dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah dicempung keluar oleh seorang sukarelawan yang berjaya memenangi hatinya. Mereka ditahan di wad buat sementara waktu untuk mendapatkan rawatan. Pasangan ini tidak boleh dipisahkan. Menghantar mereka ke pusat jagaan JKM bererti kita menzalimi mereka kerana tindakan itu akan memisahkan mereka.
Saling memerlukan
Pusat jagaan JKM, lelaki dan perempuan wajib diasingkan. Sedangkan mereka yang masih tajam ingatannya ini sangat akrab. Saling memerlukan antara satu saa lain. Lainlah sekiranya keduanya telah hilang ingatan. Di hospital pun, katil mereka dikembar rapat. Mereka kelihatan sering berbual dalam keadaan berbisik. Hanya kata-kata Mak Ngah iaitu Siti Halijah Mad Nor berusia 82 tahun sahaja yang dapat meredakan perasaan marah Pak Ngah.
Setelah keluar wad kelak, mereka akan dipindahkan ke rumah sewa sementara proses membaik pulih rumah dijalankan. Anak lelaki akan mengambil tanggungjawab menjaga mereka kelak. Setiap kejadian ada hikamhnya. Sama-samalah kita jadikan kisah ini sebagai satu pengajaran.
Sumber: Nurul Syakilla