Video berdurasi 37 saat memaparkan seorang bayi dibekam sebanyak 3 cup mencetuskan kemarahan netizen di laman sosial. Kejadian yang dipercayai berlaku di Indonesia itu bertujuan untuk membuang angin di dalam badan.
Artikel berkaitan : Video Bayi 40 Hari Dibekam Timbul Kemarahan Orang Ramai
Menerusi mStar Online, Dr Afiq Izzudin A. Rahim menjelaskan rawatan bekam adalah tidak selamat dan tidak sesuai kepada kanak-kanak berumur 10 tahun ke bawah.
Tiada bukti rawatan bekam baik untuk bayi
(Sekadar gambar hiasan)
Menurutnya lagi, sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan rawatan tersebut berkesan kepada bayi. Seeloknya bagi bayi yang baru lahir, susu ibu adalah ubat terbaik sama ada merawat kembung perut atau sakit kuning.
Bagi rawatan bekam, mereka yang berumur 10 sehingga 65 tahun sahaja dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu.
Ini bermakna kanak-kanak di bawah umur 10 tahun tidak dibenarkan menerima rawatan bekam berkenaan. Saya juga tidak pernah jumpa lagi kajian yang membolehkan bayi melakukan amalan itu.
Bagaimanapun, saya tahu ada perawat-perawat alternatif di Indonesia yang menggalakkan amalan ini dilakukan terhadap bayi namun kajian itu agak lemah dan tidak kukuh kerana ia merupakan pendapat peribadi perawat tersebut.
Rawatan bekam secara umum adalah untuk mengeluarkan darah kotor di dalam badan dan ia hanya berfungsi sebagai rawatan sampingan (complimentary) dalam perubatan moden, khusus untuk pesakit yang menghidap masalah sendi. Malah, ia juga tidak sesuai dilakukan ke atas seseorang yang sedang demam.
Bila tengok balik video itu, posisi cawan bekam yang diletakkan di antara tulang belikat bayi itu tiada kaitan untuk mengeluarkan angin sebaliknya hanya untuk mengurangkan kesakitan pada bahagian atas badan dan tekak.
Walau bayi tidak menangis, kita kena faham
Tambah Dr Afiq lagi, rawatan bekam juga berisiko kepada penyebaran penyakit berjangkit ekoran bekas yang tidak disteril atau dibersihkan dengan baik.
Amalan bekam ini juga memiliki risiko seseorang itu dijangkiti penyakit berjangkit dan jangkitan kuman pada luka.
Terdapat dua jenis bekam, dry cupping (bekam kering) dan wet cupping (bekam basah).
Berdasarkan penelitian video itu, mungkin mereka melakukan ‘dry cupping’ terhadap bayi berkenaan.
Meskipun dalam video itu bayi berkenaan tidak menangis atau memberi tanda dia sedang sakit, tetapi kita harus faham bekam ini mungkin bersifat invasif.
Yang paling kita takuti jika bayi ini sudah nyawa-nyawa ikan dan terlambat untuk diselamatkan.
Bagaimanapun sehingga kini tiada komplikasi bekam yang membawa kepada kematian.
Jika terdapat sebarang masalah terutama melibatkan bayi, ibu bapa dinasihati supaya segera mendapatkan rawatan di klinik berdekatan. Ibu bapa juga diminta jangan mudah percaya dengan panduan kesihatan yang dikongsikan di laman sosial.
Sumber : mStar Online