Semalam, viral satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki yang dikenali sebagai Raja Bomoh atau nama sebenar Ibrahim Mat Zin dipercayai membuat satu ritual untuk menolak musibah banjir.
Raja Bomoh buat ritual tolak banjir
Raja Bomoh berkenaan tampil melakukan ritual berdekatan Teluk Gelanggang, Teluk Intan, Perak bersama seorang wanita yang dikenali sebagai Puteri Zaleha. Menerusi video viral, Puteri Zaleha yang sedang duduk menghadap pantai dilihat memulakan upacara tersebut dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan kemudiannya menyanyikan lagu ‘Mayang Sari’.
Hari ini kita buat pelepasan supaya air lautan tidak mengganas di Teluk Anson, kerana tilik puteri, tengok air laut kemungkinan akan melimpah ruah dan tenggelam teluk ini.
Ibrahim Mat Zin dan Siti Zaleha seterusnya berdoa kepada Allah SWT untuk menolak bencana. Mereka menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu. Turut kelihatan di hadapan mereka ialah surah Yasin dan kitab suci al-Quran.
Ya Allah ya tuhan ku, ku pohon kepada Mu ya Allah, janganlah turunkan sebarang musibah di teluk ini. Datang dan pergi memanglah kerja kau Ya Allah tetapi redakanlah penduduk ini supaya hidupnya aman damai dan tidak ditimpakan musibah.
JAIPk buka kertas siasatan
Tindakan Ibrahim Mat Zin dan Siti Zaleha bagaimanapun menerima pelbagai kecaman daripada netizen yang rata-ratanya tidak bersetuju dengan ‘ritual’ tersebut yang boleh memesongkan akidah umat Islam. Menerut mereka, ianya adalah satu perkara syirik dan bertentangan dengan agama Islam.
Susulan daripada itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan membuka kertas siasatan berkaitan ritual yang dilakukan Ibrahim Mat Zin dan Siti Zaleha. Menurut Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin, perbuatan dua individu tersebut disiasat mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana mencela dan menghina agama Islam.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan perkara-perkara seumpama ini dan menjauhi apa juga amalan yang menjurus kepada khurafat.
Sumber: Sinar Harian, Facebook