berita

Viral Video Solat Sambil Ketawa, Dua Individu Ditahan Polis Kerana Hina Islam

April 20th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang pelajar kolej wanita dan jurujual jam di Ipoh, Perak telah ditahan oleh pihak polis selepas disyaki terlibat dalam kes mempersendakan agama Islam melalui rakaman video yang viral di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Dua individu telah ditahan polis

Menerusi video yang viral tersebut memaparkan seorang lelaki dipercayai sedang mendirikan solat dalam keadaan bermain-main sambil tindakannya itu diperhatikan oleh rakannya yang lain. Lebih mengejutkan apabila mereka turut tertawa melihat aksi tersebut.

Susulan itu, menerusi laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkata, pihak polis telah menahan kedua-dua suspek iaitu seorang lelaki dan pelajar kolej wanita yang masing-masing berusia 20 tahun.

Lelaki itu mengaku melakukan watak solat dalam video berkenaan dan rakan wanitanya mengaku merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit miliknya, dengan niat untuk bergurau di sebuah inap desa di Taman Lapangan Terbang, sebelum memuat naik di Instagramnya.

Suspek direman 4 hari

Siasatan awal mendapati video berkenaan telah viral dan mendapat kecaman hebat daripada netizen sebaik sahaja ianya dimuatnaik di media sosial. Pelajar kolej berkenaan yang takut dan bimbang kemudian bertindak memadam video tersebut dari laman Instagramnya.

Rakaman itu dilakukan pada 28 Oktober lalu, kira-kira pukul 1.27 pagi, berdasarkan semakan di telefon bimbit berkenaan.

Sementara itu, pihak polis telah merampas dua unit telefon bimbit milik suspek dan mereka berdua kini direman empat hari sehingga 22 April ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Sumber: Bernama, Harian Metro

SKIP THIS AD ×