berita

Virus Covid-19 Ditemui Pada Permukaan Badan Mayat – KKM

April 10th, 2020 | by Shira
Kini Trending

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media petang tadi memaklumkan satu mayat pesakit Covid-19 telah dibedah siasat dan menemui virus maut tersebut berada pada permukaan badan mayat berkenaan.

Virus pada permukaan mayat

Menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Hisham memberitahu bahawa virus tersebut telah dikesan melalui satu analisa Real-time Polymerase Chain Reaction (rt-PCR) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Bukan itu sahaja, virus tersebut turut dikesan dalam organ dalaman, air kencing dan cecair badan.

Bedah siasat dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, iaitu Akta 342.

Dibenarkan tayamum di beg jenazah


Penemuan tersebut adalah selaras dengan pengalaman Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini yang telah dipersetujui beberapa badan termasuk Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam serta Majlis Perundingan Malaysia, Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, dan Tao (MCCBCHST) .

Tatacara itu merangkumi pengurusan jenazah Islam di mana hanya dibenarkan untuk ditayamum di atas permukaan beg jenazah, manakala bagi mayat bukan Islam apa-apa upacara keagamaan dan tradisi hanya dibuat di atas permukaan beg mayat.

Hal ini secara tidak langsung bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan orang ramai daripada dijangkiti wabak Covid-19.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia