Seorang pelajar di Texas, Amerika Syarikat meluahkan rasa syukur dan gembira kerana teman lelakinya masih setia bersamanya meskipun wajahnya mengalami kecacatan yang sangat teruk akibat diserang oleh dua ekor anjing pada tahun lalu.
Wajah digigit 800 kali
Foto: CBS News
Bercerita lanjut mengenai detik hitam yang menimpanya, Jacqueline Durand yang berusia 22 tahun mengaku agak bimbang kecederaan yang dialaminya itu akan merosakkan hubungannya bersama teman lelaki, Nathan. Tetapi siapa sangka, kecacatan tersebut langsung tidak menjejaskan hubungan mereka malah ianya mengeratkan lagi kasih sayang antara mereka.
Saya rasa serangan itu telah mendekatkan hubungan kami. Saya ragu-ragu jika dia mahu tetap bersama saya atau tidak. Saya bertanya kepadanya, adakah dia masih mahu setia di sisi saya? Saya telah berubah selama-lamanya dan dia berkata bahawa dia mahu meneruskan hubungan kami.
Menurut sumber, Jacqueline Durand merupakan individu yang pernah menjaga Nathan ketika lelaki itu disahkan menghidap kanser pada suatu ketika dahulu. Namun selepas menerima rawatan, Nathan dikatakan telah kembali sihat.
Saya bersyukur kerana mendapat peluang yang sama untuk menunjukkan kasih sayang dan menjaganya sama seperti apa yang dilakukannya dahulu.
Pada hari dia diserang, Jacqueline sebenarnya menerima upah untuk menjaga dua ekor anjing itu, namun dia diserang dan digigit sebanyak 800 kali.
Sumber: Daily Mail