Kerajaan Arab Saudi mengumumkan protokol kesihatan pada musim haji tahun ini untuk mencegah penularan pandemik yang sedang melanda hampir seluruh dunia.
Menerusi laporan Arab News, Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) dalam kenyataan memaklumkan para jemaah tidak dibenarkan menyentuh Kaabah dan mencium batu Hajar Aswad.
Wajib memakai pelitup muka
Selain tidak dibenarkan menyentuh Kaabah dan mencium batu Hajar Aswad, para jemaah juga perlu mematuhi jarak sosial 1.5 meter antara jemaah yang lain ketika menunaikan ibadah termasuk sewaktu solat berjemaah. Di samping itu, akses ke Mina, Muzdalifah dan Arafah juga akan terhad kepada mereka yang mempunyai permit haji mulai Ahad depan hingga 2 Ogos.
Para jemaah juga diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang menunaikan ibadah haji. Sebarang makanan dilarang untuk dibawa masuk ketika beribadat dan para jemaah perlu mematuhi kesemua peraturan yang telah ditetapkan. Antara peraturan yang ditetapkan ialah sentiasa mencuci tangan, memakai hand sanitizer dan melakukan pemeriksaan suhu badan.
Kebenaran hanya untuk jemaah Arab
Sementara itu, Kerajaan Arab Saudi mendapat sokongan daripada pelbagai negara berhubung kebenaran menunaikan haji hanya diberikan kepada jemaah yang berada di negara itu sahaja. Sejak Jun lalu, kerajaan itu juga telah menetapkan had bilangan jemaah haji kepada 1,000 orang bagi mengekang penularan virus Covid-19 dan memutuskan untuk tidak membenarkan umat Islam dari negara luar menunaikan ibadah haji tahun ini.
Sumber: Arab News