Foto: Norunajwa
Umumnya mengetahui semalam, merupakan Hari Kanser sedunia yang disambut di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada orang ramai dalam mencegah dan mengawal penyakit kanser. Bahkan, team OHBULAN! sempat berkongsi kisah inspirasi penghidap kanser yang melawan stigma terhadap penyakit itu.
Artikel Berkaitan: ‘Kanser Bukan Pengakhirannya Mati’ – Ini Kisah Inspirasi ‘Fighter’ & ‘Survivor’ Sempena Hari Kanser Sedunia
Terbaru, seorang ibu dikenali sebagai Norunajwa, turut menceritakan pengalaman anaknya menjadi cancer fighter menerusi kumpulan Anak Sepahkan Apa Hari Ini? Perkongsian tersebut berjaya membuatkan warganet mengalirkan air mata di mana anaknya telah meninggal dunia pada Ogos yang lalu. Semoga si ibu terus kuat!
Kanser Leukimia
Foto:Norunajwa
Tarikh 4 Februari adalah tarikh Hari Kanser Sedunia. Izinkan saya berkongsi kisah anak Syurga saya Adam yang di uji sakit kanser. Sewaktu dimaklumkan anak menghidapi sakit kanser darah (leukimia) hati bagai tidak percaya. Lutut rasa lemah. Kepala rasa sakit bagai di hempap batu yang besar. Penyakit yang paling ditakuti akhirnya di alami oleh anak sendiri. Airmata sentiasa menjadi peneman. Anak saya juga sering menangis.Mungkin masih terkejut dengan suasana wad yang sangat asing baginya.
Jelas wanita yang kuat berdepan dengan takdir Ilahi ini, menceritakan pada mulanya dia seakan-akan tidak percaya bahawa anaknya akan diuji dengan penyakit kanser darah atau nama saintifiknya Leukimia. Namun, atas dorongan dan sokongan yang tidak putus-putus daripada keluarga dan rakan-rakan dia cuba untuk menerima takdir itu walaupun pahit untuk ditelan.
Pada masa yang sama, dia juga perlu kuat di hadapan anaknya supaya anaknya lebih bersemangat dalam melawan kanser tersebut.
Walaupun dalam hati hanya Tuhan yang Tahu. Tapi saya cuba kelihatan tenang dan bagaikan tiada apa yang berlaku. Sentiasa layankan dan hiburkan hatinya. Berusaha untuk buat mereka tersenyum. Saya tidak mahu anak saya sedih. Tipulah jika saya tidak menangis. Tapi elakkan menangis di hadapannya.
Pergi menghadap Ilahi
Foto: Norunajwa
Lama kelamaan anak saya juga semakin positif. Dia sentiasa tersenyum walaupun menanggung sakit yang dihadapinya . Sakit kanser bukan seperti sakit demam biasa. Tapi terlalu banyak ujian yang dialaminya selepas kimoterapi seperti ulser, demam, sakit badan. Bergantung kepada antibodi masing- masing. Ujian yang dilalui buat saya lebih belajar. Belajar erti sebuah pengorbanan, kasih sayang dan kesabaran.
Jelasnya lagi, lama kelamaan anaknya juga menunjukkan respon yang positif walaupun menanggung sakit yang perit. Walaupun, pelbagai prosedur hospital telah dilakukan ditambah pula dengan usaha-usaha lain untuk menyembuhkan anaknya, namun atas persuratatan takdir, anaknya telah dijemput Ilahi pada 27 Ogos 2020.
Walaupun berat, tapi saya sekelurga reda dan ikhlas. Berbaik sangka dengan Allah. Ada hikmah atas perancanganNya. Sakit cuma asbab. Hakikatnya masa mereka telah tiba. Allah lebih sayangkan mereka. Hilang sudah segala kesakitan mereka. Jika ada keluarga atau rakan yang mengalami situasi yang sama, berikanlah kata semangat. Kata semangat juga mampu untuk membuatkan mereka lebih kuat.
Pada masa yang sama, si ibu reda dan pasrah dengan segala ketentuan yang telah ditetapkan olehNya. Tambahan pula, wanita ini juga turut mendoakan kepada ibu-ibu di luar sana yang menerima nasib yang sama sepertinya untuk terus kuat. Tidak berakhir di situ, dia juga turut berpesan untuk menganggap takdir ini sebagai ujian dan hikmah yang perlu dipikul.
SELAMAT HARI KANSER SEDUNIA.
Mama Wildan Syurga Muhammad Adam Furqan-
Al-Fatihah
Dikongsi lebih 25 pengguna Facebook yang lain, posting tersebut juga dihujani dengan ratusan komen yang mendoakan supaya si ibu terus kuat dan mengucapkan salam takziah atas pemergian anaknya yang tersayang.
Sumber: Norunajwa via Anak Sepahkan Apa Hari Ini