Pelakon dan pengacara Amelia Henderson tetap menerima sokongan daripada bekas kekasihnya Aedy Ashraf berkenaan kes saman yang melibatkan seorang penulis skrip.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Kes Saman Amelia & Penulis Skrip Drama Diteruskan, Aedy Ashraf Doakan Yang Terbaik – ‘Dia Seorang Wanita Kuat & Cekal’
Artikel Berkaitan: Amelia Henderson Tidak Akan ‘Get Back’ Dengan Aedy Ashraf – ‘Perlu Melepaskan Supaya Mereka Boleh Tumbuh’
Hargai Aedy
Ketika ditemui OhBulan!, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson berkata dia tetap menghormati aktor berusia 31 tahun tersebut walaupun hubungan mereka sudah berakhir.
Saya hargainya dan sejujurnya saya menghormati Aedy. Saya rasa masa kami sudah sampai penghujung. Bagaimanapun, saya ada rasa hormat terhadap Aedy.
Saya tidak akan bercakap perkara negatif mengenai Aedy sebab saya hormatinya dan kami pernah rapat dulu. Saya hargai Aedy kerana dia seorang yang matang.
Walaupun kami sudah tidak rapat lagi, tapi dia selalu menyokong di belakang saya, malah saya juga akan berada di belakangnya. Aedy seorang yang hebat dan sememangnya layak untuk mendapatkan yang terbaik.
Dalam masa yang sama, aktres berusia 28 tahun itu berkata cinta antara mereka mungkin tidak akan bertaut kembali. Justeru itu, Amelia tidak mahu mengulas lebih panjang berkenaan hubungan mereka.
Kadang-kadang bila sudah sampai penghujung perhubungan, saya pun tak tahu macam mana hendak jawab sebab tak mahu orang salah faham atau menyimpan harapan terhadap situasi ini.
Ini adalah masa untuk biarkan ia berlalu, kita tidak boleh memaksa keadaan. Dia dan saya faham perkara itu dan saya doakan dia selalu dalam keadaan baik.
Amelia berkata demikian selepas tayangan perdana filem Harimau Malaya The Untold Story yang berlangsung di GSC The Starling Mall pada Isnin.
Kes saman
Sementara itu, pelakon filem Pulau tersebut memaklumkan dia tidak boleh memberi kenyataan lanjut tentang kes saman berkenaan.
Saya baru sahaja selesai proses mediasi dan perbicaraan akan diteruskan pada bulan Februari tahun hadapan. Selepas itu, saya akan menjelaskan semuanya.
Terdahulu, Amelia membuat pendedahan mengenai hubungannya dengan Aedy yang dikatakan tidak lagi akrab seperti sebelum ini.
Untuk info, kes saman penulis skrip drama ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’ iaitu Rehal Nuharis terhadap Amelia diteruskan selepas proses mediasi yang diadakan di Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur gagal diselesaikan secara baik.
Difahamkan, kedua-dua pihak tidak mencapai kata sepakat yang membabitkan syarat-syarat penyelesaian dalam proses mediasi yang dijalankan.
Susulan itu, kes saman akan diteruskan dengan perbicaraan yang akan bermula 6 dan 7 Februari 2025.
Dalam perkembangan lain, Amelia membawa watak sebagai Inaya di dalam filem arahan Datuk Afdlin Shauki tersebut.
Selain Amelia, filem berinspirasikan skuad bola sepak kebangsaan itu turut membariskan pelakon hebat antaranya Meerqeen, Sophia Albarakbah, Aiman Hakim Redza, Erra Fazira dan Tony Eusoff.