Menerusi program ‘Realiti’ episod ketiga ‘Persundalan Online’, seorang wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa tampil berkongsi mengenai kisah hidupnya sepanjang berada di dalam dunia ‘dark side’.
Perjudi maruah untuk duit
Di awal temu bual, Lisa memberitahu dia berasal dari Johor dan sudah menetap di Kuala Lumpur selepas tamat pengajian. Ujar Lisa, dia bekerja sebagai jurubank sewaktu berada di ibu kota. Bercerita mengenai bagaimana boleh terjebak dalam dunia ‘dark side’, wanita berusia 29 tahun ini berkata dia mendengar mengenai perkara tersebut daripada rakan sepejabat.
Dark side dia macam satu akaun yang kita buat secara senyap dan bukan semua orang tahu. Kenapa dia berkait dengan saya, sebab masa itu saya masih muda dan baru habis belajar. Fresh grad kerja duit tak cukup. Rasa nak beli kereta dan rumah semua. Mula-mula saya tak tahu. Yang mendorong saya, saya terdengar dari rakan pejabat.
Mereka tengah sembang sesama mereka. Jadi saya ambil keputusan nak dengar juga. Lagipun saya tengah kekurangan duit. Dark side boleh dapat duit. Saya buat akaun. Mula-mula saya tak tahu dekat satu media sosial ini boleh jana pendapatan.
Saya tengok apa mereka buat dan kongsikan. Nama pun dark side jadi mereka kongsi gambar yang tak sepatutnya. Tempat lain tak boleh kongsi situ sahaja. Semua orang kongsi foto tanpa muka. Senang cerita gambar seksi dan bogel.
Menurut Lisa, di awal penglibatan dalam dunia ‘dark side’ dia berasa takut dan berhati-hati. Namun begitu, perasaan tersebut berubah menjadi seronok kerana dia berjaya meraih ribuan ringgit menerusi satu foto.
Saya buat akaun dan aktif. Mula-mula takut sebab takut kantoi. Saya muat naik gambar bawah dulu dan ramai orang suka. Sebulan buat dah dapat belas ribu. Lama-lama saya bagi lebih daripada itu kecuali muka.
Disoal mengenai perasaan ketika menjual maruah diri, Lisa memberitahu dia berasa tidak seronok dan sedar mengenai perbuatan tersebut.
Saya perjudikan maruah untuk duit. Bila hari-hari dapat duit rasa mewah. Saya gembira dan kongsi kemewahan bersama rakan-rakan dan keluarga. Masa itu keluarga ada tanya dari mana saya dapat duit. Saya kata duit tersebut hasil daripada simpanan selama ini.
Semua orang tahu
Berbicara lebih lanjut, Lisa memberitahu ada sebuah kejadian telah berlaku dalam hidupnya selepas dua tahun aktif di dalam dark side. Kejadian tersebut membuatkan dirinya ‘jatuh terduduk’.
Selepas dua tahun saya buat, saya memang tak tunjuk muka langsung. Sampai suatu hari ada orang hubungi saya. Dia dm saya cakap dia vip. Dia nak gambar saya beserta muka. Waktu itu pula saya memang perlukan duit nak beli benda. Dia janji tidak akan sebar foto saya. Hanya untuk dia sahaja. Sebab duit juga saya percaya. Saya jual foto biasa pun tak dapat duit sebanyak yang dia bagi.
Keesokannya, saya pergi pejabat dan semua orang pandang atas bawah dan mereka tidak seperti selalu. Bila saya nak sembang dengan mereka, mereka tidak mahu sembang. Sampai suatu hari, abang saya Whatsapp dan hantar tangkap layar foto yang saya beri kepada vip. Abang saya tanya ‘itu kamu?’.
Benda itu dah sampai dekat abang dan saya terdiam. Ayah ibu dah mula telefon. Foto tersebut memang jelas nampak muka saya. Sampai orang kampung tahu. Tersebar habis. Orang itu muat naik di media sosial sehingga viral.
Sejak itu saya rasa malu dengan diri sendiri. Sedih. Ayah ibu malu dan orang kampung asyik mengata. Selepas kejadian itu, saya berhenti kerja. Saya ambil keputusan balik kampung. Keluarga tak boleh menerima saya. Mereka kata sebab duit saya menjatuhkan maruah sebagai seorang perempuan.
Saya cari kerja lain sekarang. Ternyata nafsu hidup mewah telah ubah hidup saya. Saya harap anak muda baru habis belajar tidak menjadi seperti saya.