Jika sebelum ini kisah Norfarrah Syahirah Shaari memandu kereta dengan menggunakan kaki viral di media sosial. Terbaru, wanita orang kurang upaya (OKU) ini berkorban tenaga dengan menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan.
Guna kaki dan cara sendiri
Ramai yang nak tengok kan macam mana saya menjahit guna kaki. Okay saya tunjuk skill saya menjahit guna kaki je dengan cara saya sendiri. Semangat nak menjahit baju PPE Frontliner nie. Nie je yang mampu saya dan team staf kolej komuniti Teluk Intan serta beberapa sukarelawan tukang jahit sekitar Teluk intan yg semangat nak membantu.. Semoga urusan kami dipermudahkan. Amin.
Menerusi Facebook Farrah, dia memuat naik satu video di mana dia sedang menjahit menggunakan kaki. Tambahnya, ramai individu ingin melihat bagaimana dia mampu menjahit kesemua PPE menggunakan kaki di samping menggunakan caranya tersendiri.
Sumbangan kecil kami
Manakala menerusi laporan Harian Metro, Farrah memberitahu dia turut dibantu oleh sembilan orang sukarelawan dari Komuniti Untuk Komuniti termasuk 25 tukang jahit ketika menghasilkan kesemua PPE. Di samping itu, dia mengakui bahawa dia sangat meminati bidang jahitan malah, dia turut menjahit baju untuk kegunaan sejak lapan tahun lalu. Di samping itu, dia sangat meminati bidang jahitan.
Sebanyak 400 meter kain digunakan untuk menghasilkan 252 gaun isolasi. Kain berkenaan akan dipotong sebelum diagihkan kepada sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing bermula sejak enam hari lalu.
Ini sumbangan kecil kami dengan kemahiran yang ada kerana menyedari PPE menjadi keperluan penting bagi barisan hadapan. Menjahit dengan kaki nampak sukar, perlu pegang lipatan kain sambil jahit supaya kain tidak berubah kedudukan, tetapi saya bersyukur semua kerja rasa mudah cuma memerlukan kesabaran tinggi.
Terdahulu, Norfarrah yang kudung kedua belah tangan sejak lahir, menggunakan kaki untuk melakukan kerja hariannya termasuk memandu ke tempat kerja. Tambahnya, dia enggan menyusahkan orang di sekeliling dan mahu hidup berdikari.
Sumber: Norfarrah Syahirah & Harian Metro