berita

Wanita Lahirkan Bayi Pramatang Supaya Suami Penghidap Kanser Sempat Berjumpa Dengan Anak Lelaki

December 20th, 2021 | by Hariz
Kini Trending

Seorang wanita membuat keputusan untuk melahirkan bayinya yang masih belum cukup bulan agar suaminya, seorang penghidap kanser yang ketika itu sedang ‘menghitung hari’ dapat berjumpa dengan anak lelaki mereka.

Sempat berjumpa dengan anak kurang sejam

Haley Parke, seorang wanita dan isteri berusia 28 tahun membuat keputusan yang besar dalam hidupnya untuk melahirkan seorang bayi pramatang, agar suaminya yang menghidap kanser sempat bertemu dengan anak kedua mereka.

Haley menggambarkan situasi itu sebagai satu kenangan yang pahit dan manis dalam hidupnya. Anak kedua mereka, John Beeson Parke diambil dan dibawa ke wad yang terletak dua tingkat di atas bilik bersalin sebaik sahaja dilahirkan untuk bertemu dengan bapanya, John Brinton Parke.

John pada ketika itu sudah berada pada saat-saat akhir hidupnya selepas berperang dengan sejenis kanser buah pinggang yang jarang ditemui.

Anak kedua pasangan itu yang diberikan nama gelaran ‘baby Jb’, diletakkan di atas dada John, dan mereka sempat meluangkan masa bersama lebih kurang 35 hingga 40 minit sebelum dia menghembuskan nafas yang terakhir.

Bayi dilahirkan sihat walaupun belum cukup hari

Ketika kandungan Haley berada diusia 37 minggu, dia dan suami bertemu dengan doktor mereka dan soalan pertama yang diajukan Haley adalah bolehkah dia melahirkan anak mereka dengan lebih awal.

Kurang dari 24 jam selepas itu, Haley melahirkan baby Jb yang sihat dengan berat badan 3.28kg dan kemudian mengucapkan kata selamat tinggal terakhir buat suaminya.

John meninggal dunia pada usia 33 tahun meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak termasuk baby Jb dan seorang anak lelaki berusia 18 bulan.

Dia telah disahkan menghidap sejenis kanser buah pinggang pada Januari 2021 dan pada ketika itu, diagnosis tersebut berada di satu tahap yang tidak mampu disembuhkan lagi, namun John tetap menjalani kemoterapi yang akhirnya tidak membuahkan hasil.

Pasangan tersebut membuat keputusan untuk memberikan seorang adik kepada anak sulung mereka yang pada ketika itu berumur 10 bulan agar dia tidak membesar keseorangan.

Haley disahkan mengandung pada bulan April dengan teknologi ‘in-vitro fertilization’ (IVF).

Sumber: yahoo! news

SKIP THIS AD ×