berita

Wanita Mesir Menyamar Jadi Lelaki Selama 43 Tahun Demi Menyara Keluarga

April 8th, 2021 | by Zulaikha
Kini Trending

Foto: Aceh TribunNews

Demi menyara keluarga, seorang wanita berusia 65 tahun sanggup ‘bertukar’ menjadi lelaki selama 43 tahun. Menerusi laporan yang dipetik daripada Aceh TribunNews, wanita yang dikenali sebagai Abu Daooh menetap di bandar Luxor, Mesir.

Tidak berakhir di situ, kisah mengenai kecekalan wanita ini juga turut tular dan mendapat perhatian daripada kerajaan Mesir.

Demi keluarga tersayang

Foto: Aceh TribunNews

Kisah wanita ini bermula apabila dia berusia 21 tahun, dan mengandung anak perempuan pertamanya. Namun, atas persuratan takdir suaminya meninggal dunia secara mengejut ketika anaknya baru sahaja berusia enam bulan. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menyara anaknya seorang diri demi mencari sesuap nasi buat mereka.

Tidak berakhir di situ, pada mulanya ramai menasihati wanita ini supaya berkahwin lagi bagi menjaga kebajikan anaknya namun, dia enggan menuruti nasihat tersebut. Bahkan, dia turut menghadapi tekanan berikutan golongan wanita yang senang dieksploitasi dan menjadi mangsa penderaan seks. Tetapi apa yang menyedihkan apabila dia sukar mendapatkan sebarang pekerjaan berikutan dirinya yang membawa imej wanita.

Mula menyamar jadi lelaki

Foto: Aceh TribunNews

Susulan daripada itu, Daooh mengambil keputusan untuk menukar wataknya menjadi sebagai seorang lelaki dan turut berpakaian seperti lelaki biasa. Jelas wanita ini, ketika berusia 20-an dia mempunyai tenaga luar biasa yang membolehkannya bekerja sebagai seorang lelaki dengan memecah batu.

Tetapi, tindakannya yang menyamar sedemikian rupa telah dimarahi oleh ahli keluarganya. Namun, demi kelangsungan hidupnya dia terus melakukan pekerjaan tersebut seperti biasa. Seterusnya, dia juga mula bekerja di sektor pembinaan dan melakukan kerja-kerja berat. Namun, atas faktor usia yang semakin meningkat dia diberi kerja yang lebih ringan iaitu menjadi penggilap kasut sesuai dengan umurnya.

Sukar bagi seorang wanita untuk melepaskan ‘kewanitaannya’, tetapi saya melakukan apa pun untuk anak perempuan saya. Itulah satu-satunya cara untuk mendapatkan duit.

Dapat penghargaan daripada kerajaan

Foto: Aceh TribunNews

Susulan umurnya yang semakin meningkat, dia ingin untuk memberitahu identitinya yang sebenar setelah anak perempuannya sudah berkahwin. Namun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila menantunya jatuh sakit dan tidak lagi mampu bekerja. Mahu tak mahu, dia terpaksa terus bekerja dan mengekalkan identitinya.

Pada tahun 2015, kisah wanita cekal ini mula mendapat perhatian masyarakat dan pihak kerajaan turut memberikan penghargaan buatnya. Difahamkan, dia menerima sijil penghargaan sebagai ibu paling berbakti dan kedai untuk menjalankan perniagaan untuk membaiki dan mengilat kasut.

Sumber: Aceh TribunNews

SKIP THIS AD ×