berita

Wanita Pakai Ihram Tunai Umrah Pergi Dengan Urusan Melancong, Tiada Agensi Umrah Yang Terlibat

August 16th, 2022 | by Hariz
Kini Trending

Ekoran tular seorang wanita yang didakwa mengerjakan ibadah umrah berpakaian ihram lengkap seperti lelaki baru-baru ini, Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak (PUHAZ) mengesahkan mereka tidak terlibat dalam mengendalikan urusan individu tersebut.

Sokong tindakan tegas yang akan diambil

Setiausaha Agung PUHAZ, Abdul Jabbar Abdul Kahar berkata, menerusi maklumat awal yang diperoleh, tiada mana-mana antara 35 syarikat pelancongan dan umrah di bawah persatuan itu yang terlibat.

Hasil maklumat yang kami peroleh mendapati individu berkenaan ke sana bukan melalui mana-mana agensi yang terlibat dengan urusan umrah.

Kami dimaklumkan, sebaliknya dia pergi dengan rakan-rakannya secara berkumpulan dengan urusan melancong dan seterusnya masuk ke Mekah.

Dalam pada itu, Abdul Jabbar berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan jemaah umrah kendalian mereka melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum agama.

Sementara itu, Presiden PUHAZ, Mohd Ali Sabri Abd Rahman berkata, PUHAZ menyokong sepenuhnya tindakan tegas yang akan diambil kepada individu berkenaan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, perbuatan berkenaan jelas adalah satu penghinaan kepada agama dan berharap agar ianya tidak akan berulang di masa hadapan.

Dari sudut hukum umrah itu tidak sah kerana seorang perempuan telah berpakaian lelaki lalu mendedahkan auratnya ketika melakukan ibadat.

Apatah lagi jika perkara itu dilakukan pula di Tanah Suci. Secara jelas dia telah melakukan sesuatu yang menghina agama.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa hantaran berkenaan seorang wanita di Tanah Suci Makkah yang lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki.

Sumber: Astro Awani

SKIP THIS AD ×