Sekadar gambar hiasan
Dakwa ibu dirasuk syaitan, seorang wanita tergamak memukul ibunya hingga mati dengan menggunakan tukul. Insiden ngeri itu dipercayai berlaku di kediaman mereka yang terletak di Bronx, New York.
Pukul ibu hingga mati
Foto: New York Post
Memetik laporan New York Post, suspek yang dikenali dengan nama Charlene Novoa berusia 26 tahun telah ditahan sekitar jam 2 pagi pada Sabtu lalu selepas didakwa membunuh ibu kandungnya, Silma Garcia berusia 66 tahun. Pihak polis yang tiba di tempat kejadian memaklumkan bahawa kediaman tersebut kelihatan sangat kotor dan dipenuhi dengan timbunan sampah. Lebih mengejutkan apabila mereka melihat mangsa yang sudah tidak bernyawa ditemui di bawah katil di dalam bilik rumah berkenaan.
Anggota polis juga melihat tangan dan muka mangsa dipenuhi dengan kesan cakaran dipercayai dilakukan sendiri olehnya. Suspek juga mendakwa dia telah memukul ibunya dengan sesuatu yang berat. Sementara anak lelaki mangsa iaitu Marcos yang tinggal di apartmen itu mendakwa bahawa suspek memberitahu, dia telah memukul ibu mereka menggunakan tukul hingga mati kerana percaya mangsa dirasuk oleh syaitan.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kesan pukulan pada bahagian kepala dan badan. Sementara jiran tetangga mendakwa tidak sangka suspek tergamak melakukan perbuatan itu kerana dia merupakan seorang anak yang sangat pendiam. Suspek yang telah ditahan polis akan didakwa dan siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan.
Sumber: New York Post