berita

Wanita Tiada Gejala Covid-19 Jangkiti 71 Mangsa Lain Selepas Guna Lif Pangsapuri

July 14th, 2020 | by Shahira
Kini Trending

Seorang wanita yang disahkan positif Covid-19 tidak menyedari bahawa dia telah menjangkiti sekurang-kurangnya 71 penduduk setempat selepas menggunakan lif di blok pangsapuri kediamannya yang terletak di China.

Baru pulang dari Amerika Syarikat

Menerusi laporan yang dipetik Metro UK, wanita yang tidak didedahkan identiti itu dipercayai baru sahaja pulang ke rumahnya yang terletak di Heilongjiang, China selepas bercuti ke Amerika Syarikat pada 19 Mac 2020 yang lalu. Difahamkan, wanita berkenaan tidak menunjukkan sebarang gelaja malah dia juga disahkan negatif Covid-19. Walaupun begitu, dia diminta untuk menjalani kuarantin diri di rumahnya.

Menurut saintis, mereka percaya lif yang pernah digunakan oleh wanita berkenaan selepas kembali dari luar negara telah dicemari dengan virus Covid-19 sebelum menjangkiti penduduk setempat. Menurut sumber, meskipun wanita terbabit menaiki lif sendirian untuk ke rumahnya tetapi pada keesokan harinya, lif yang sama telah digunakan oleh jiran di tingkat berlainan.

Jangkiti jiran tetangga

Difahamkan, pada 26 Mac 2020, ibu dan teman lelaki jirannya telah bermalam di pangsapuri berkenaan. Dua hari kemudian, kedua beranak ini keluar menghadiri satu parti bersama sekumpulan individu lain. Difahamkan, tanpa mereka sedari pada ketika itu kedua beranak ini sudah dijangkiti Covid-19.

Pada 2 April 2020, salah seorang individu daripada kumpulan parti berkenaan itu mengalami strok sebelum dikejarkan ke hospital. Namun pada ketika itu, pihak hospital tidak menjalankan ujian Covid-19 terhadap individu berkenaan.

Doktor dan jururawat turut dijangkiti

Namun pada 6 April 2020, individu terbabit didakwa telah dipindahkan ke hospital yang berlainan. Berikutan daripada insiden itu, dua orang anaknya telah datang menjaganya di hospital. Namun tidak lama selepas itu, individu yang mengalami strok dan dua orang anaknya itu disahkan positif Covid-19.

Lebih mengejutkan apabila mengetahui virus tersebut sudah menjangkiti seramai 28 orang pesakit termasuk doktor dan jururawat yang berkhidmat di hospital pertama. Kemudian, virus tersebut turut menjangkiti 20 orang lagi pesakit di hospital kedua. Difahamkan, wanita berkenaan sekali lagi diminta menjalani ujian dan hasil pemerikasaan menunjukkan dia memang sudah dijangkiti Covid-19. Sementara itu, pihak berkuasa mula mengesan kontak rapat kesemua mereka yang dijangkiti Covid-19.

Sumber: Metro UK, Independent UK

SKIP THIS AD ×