Semalam, negara digemparkan dengan satu kes kematian melibatkan seorang petugas wanita badan bukan kerajaan (NGO). Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan lehernya dijerut di sebuah rumah di Taman Bangi, Kajang.
Rakan sekerja jumpa mayat
Foto: Facebook
Memetik laporan Berita Harian, insiden ngeri yang menimpa mangsa, Nik Khatijah Binti Nik Mud itu hanya disedari oleh salah seorang rakan sekerja mangsa sebelum melaporkannya kepada pihak polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zain Hassan, pihak mereka bergegas ke tempat kejadian dan mendapati leher mangsa terdapat kesan jerutan. Bukan itu sahaja, mangsa yang berusia 32 tahun itu disyaki telah meninggal dunia lebih daripada tempoh 24 jam.
Gagal dihubungi
Foto: Facebook
Sementara itu, kakak mangsa memberitahu, adiknya itu gagal dihubungi sejak Jumaat lalu. Bimbang sesuatu yang berlaku, dia mengakui telah pergi ke rumah sewa mangsa dan mendapati kereta mangsa tiada di rumah. Malah, rumah tersebut juga berkunci dalam keadaan baik.
Kali terakhir kami berhubung melalui mesej kumpulan Whatsapp keluarga pada pagi Jumaat dan selepas itu, mesej peribadi dan mesej dalam kumpulan Whatsapp tidak dibaca.
Menurut sumber, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Berita Harian