Menerusi sidang media sebentar tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati masyarakat Malaysia agar sentiasa menjaga kesihatan diri. Jelas beliau, peningkatan dua angka kes setiap hari ternyata membimbangkan pihak kerajaan.
Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara antara golongan yang diberi penekanan dalam sidang media tersebut.
Duduk di bilik berasingan
Menurut Tan Sri Muhyiddin, meskipun perkembangan ekonomi di negara sudah kembali pulih, masyarakat seharusnya mengamalkan SOP yang ditetapkan oleh kerajan.
Saya juga hendak mengingatkan saudara-saudari yang pulang dari luar negara supaya menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari dengan penuh berdisiplin. Duduk di bilik yang berasingan dari ahli keluarga yang lain dan jangan sekali-kali keluar dari rumah sepanjang tempoh kuarantin. Anda juga mesti melakukan penilaian status kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. S
Jelas beliau lagi, jika individu tersebut mempunyai gejala mereka perlu maklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran dengan segera. Sekiranya gagal mematuhi arahan pengasingan ini, penalti boleh dikenakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika disabitkan kesalahan.
Tambahnya, jika perlu kerajaan akan menempatkan rakyat Malaysia yang pulang ke tanah air dari luar negara di pusat-pusat kuarantin untuk mengawal kes-kes import dengan lebih berkesan. Penguatkuasaan undang-undang juga akan ditingkatkan dengan denda yang lebih berat akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar undang-undang dan peraturan.
Perlu pakai pelitup muka
Dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan atau PKPP ini, setiap individu, keluarga dan komuniti adalah petugas barisan hadapan atau frontliners. Ahli keluarga dan anggota masyarakat mestilah sentiasa nasihat-menasihati dan ingat- mengingati antara satu sama lain.
Ibu-bapa mesti sentiasa ingatkan anak-anak supaya sentiasa memakai pelitup muka ketika keluar dari rumah. Ingatkan mereka supaya jaga penjarakan sosial, sentiasa membasuh tangan, elakkan tempat sesak, jangan berjabat tangan dan lain- lain.
Kerajaan juga sedang menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat awam. Perincian mengenainya akan diumumkan apabila peraturan yang berkaitan dimuktamadkan oleh kerajaan.
Sumber: Buletin Tv3