Pelakon Farah Ahmad, 46, memberitahu dia tidak pernah berfikir mengenai soal jodoh selepas pemergian suami tercinta, Allahyarham Pitt Hanif, empat tahun lalu.
Artikel Berkaitan: ‘Selepas Solat Subuh Ibu Akan Baca Yasin Untuknya Tanpa Putus’ – Farah Syukur Arwah Suami Masih Dapat Doa Ibu
Sentiasa dalam hati
Menurut ibu kepada tiga orang cahaya mata ini, dia sentiasa berdoa agar Allah kekalkan kerinduannya supaya sentiasa ingat kepada arwah.
Dalam doa saya tidak terlintas soal jodoh. Setiap hari saya berdoa untuk kekalkan kerinduan saya supaya sentiasa ingat kepada arwah. Jadi, saya tak pernah terfikir soal kahwin lain. Sekarang Allah beri saya ruang, lakukan apa yang saya nak buat, keluarkan apa yang saya ada dan Allah tahu kenapa saya tak tonjolkan diri. Semuanya bersebab.
Jadi, rezeki saya dibuka lebih luas. Saya mungkin adalah antara insan terpilih untuk menghadapi semua ini dan memberi contoh kepada wanita lain yang kehilangan. Tapi, kita sangat bertuah hari ini, sebab ada telefon bimbit, gambar dan video yang boleh melepaskan rindu.
Beban kerinduan tidaklah teruk, jadi ambil pengajaran daripada apa yang Allah bagi. Setiap apa yang Allah beri adalah untuk kita. Apa dugaan yang Allah bagi adalah ilmu supaya saya dapat ‘move on’ dan buka mata lebih besar.
Berbicara soal rindu, Farah tidak menafikan mengenai perasaan itu, namun dia sering menerapkan dalam hatinya dan anak-anak bahawa arwah dan semangatnya sentiasa tersemat di hati.
Yang tiada hanya jasadnya, tapi semangatnya sentiasa dalam hati kami.
Disoal mengenai cabaran sebagai ibu tunggal, Farah menganggap semuanya baik-baik. Pada masa yang sama, dia tidak menidakkan tugasnya sebagai ketua keluarga lebih mencabar.
Alhamdulillah, kami okay sahaja. Tapi, iyalah dulu saya boleh goyang kaki, bila pergi makan dengan anak dan cukup duit, saya boleh ‘claim’. Sekarang, saya nak ‘claim’ kepada siapa, ‘claim’ pada diri sendiri.
Itu semua tanggungjawab, tapi saya bersyukur anak-anak faham dan memang sudah diberitahu, sekarang mama pegang watak ayah, kakak ambil alih watak saya.
Semuanya naik setangga, dugaan kami besar, tapi sebenarnya Allah naikkan darjat kami tanpa disedari. Tiada guna pandang ke belakang, tapi saya pandang ke hadapan pun tak pandang kiri kanan.
Hanya orang yang lalui sahaja memahami. Memang penat, tapi nak buat macam mana, takkan nak minta (duit) orang.
Farah ditemui OhBulan! pada majlis tayangan perdana filem La Luna di Pavillion Bukit Bintang, Selasa lalu.