Penyanyi dan komposer Yaph akui lebih selesa mengekalkan imej misteri tanpa mendedahkan wajahnya kepada umum.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Syatilla Melvin Dedah Shaheizy Sam Seorang Introvert & Pendiam – ‘Dia Punya Senyap Tu Sampai Dengar Bunyi Perut’
Selesa kekal misteri
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Yaph yang merupakan singkatan kepada ‘Yang Aku Panggil Hidup’ itu berkata, dia sudah tampil dengan imej misteri itu sejak 2019 iaitu selepas tiga tahun pembabitannya dalam bidang muzik.
Daripada awal kemunculan saya memang tidak pernah menonjolkan diri sehinggalah 2019 baru saya muncul dengan penampilan seperti ini.
Saya ingin memberitahu bahawa muzik ini boleh disampaikan tanpa perlu menunjukkan diri sebenar. Ini bukan satu strategi pemasaran, memang saya lebih selesa berpenampilan sebegini kerana saya mahu orang ramai lebih menghargai karya-karya seni saya.
Disoal mengenai nama sebenar, negeri kelahiran dan usia, Yaph memberitahu dia enggan mendedahkan semua info mengenai dirinya. Malah, Yaph turuut mengaku bahawa dia seorang yang introvert dan tidak suka bergaul.
Boleh dikatakan saya juga seorang ‘introvert’, kalau orang cakap saya cuba menyorokkan wajah, memang ya. Syukur, peminat menghormati penampilan saya. InsyaAllah saya yakin dengan penampilan sebegini. Saya memang tidak bergaul dengan orang sangat.
Yaph yang ditemui pada sidang media Konsert Yaph dan Teman-Teman: Perpaduan Irama Hiphop Tradisional di Hotel Ideas, Kuala Lumpur, semalam turut berkongsi berita gembira kepada peminat bahawa dia bakal menganjurkan konsert ketiganya itu di RCD Big Studio, Shah Alam, Selangor pada 26 Oktober depan.
Konsert yang dianjurkan oleh Silent Set Entertainment itu akan menyaksikan lebih daripada 20 artis yang pernah berkolaborasi bersama Yaph sebelum ini.
Dua tahun kebelakangan ini saya sudah mengadakan dua konsert solo termasuk beberapa konsert jelajah di beberapa negeri dan Alhamdulillah kesemuanya ‘full house’ dan kira-kira lebih 3,000 pengunjung hadir pada kesemua konsert.
Kali ini saya ingin bawakan teman-teman seperjuangan saya dalam menghasilkan muzik yang sudah melebihi tujuh tahun ke konsert saya sebagai tanda menghargai mereka selain mewar-warkan kepada penyokong saya yang hadir pada malam itu, mereka inilah antara peneman perjalanan muzik saya.
Ujar Yaph, konsert kali ini akan ada elemen yang berbeza dan kejutan. Tambah Yaph, mereka turut menerima dana daripada Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Venture Sdn Bhd.
Konsert ini menjanjikan lebih dari 27 lagu yang menggabungkan irama hiphop moden dengan sentuhan muzik tradisional Malaysia. Setiap lagu dipilih dengan teliti untuk memberikan pengalaman muzik yang luar biasa, menghidupkan semula warisan budaya yang kaya dengan elemen-elemen kontemporari yang segar.
Peminat boleh mendapatkan tiket di laman web myticketempire dengan harga bermula RM99 sehingga RM249.