Penyanyi dan komposer Yonnyboii sah bergelar suami kepada ‘influencer’ Nik Nazira Nariman pada Sabtu lalu selepas sebulan mengikat tali pertunangan.
Kahwin dalam majlis tertutup
Menerusi hantaran di Instagram, Yonny, 23, memuat naik foto ‘wefie’ bersama Nik Nazira dengan kapsyen, ‘Bismillahirrahmanirrahim, hai isteri.’
Dalam foto tersebut, pemilik nama Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin dilihat mengenakan baju melayu rona putih gading manakala Nik Nazira berinai dan berpakaian warna yang sama.
Sementara itu, Nik Nazira, 22, turut berkongsi momen bahagia itu di platform media sosialnya. Menurut Nik Nazira, majlis pernikahan mereka diadakan secara kecil-kecilan yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.
Bismillah, saya mengahwini kawan baik saya. Kami telah adakan majlis nikah secara kecil-kecilan untuk ahli keluarga sahaja. Jumpa kalian semua pada majlis persandingn kami tahun hadapan.
Rakan artis ucap tahniah
Menjengah di ruangan komen, rakan artis dan peminat mula meninggalkan ucapan tahniah kepada pasangan sama cantik sama padan ini.
Biarpun ada segelintir yang terkejut dengan berita tersebut, namun peminat tetap mendoakan kebahagiaan Yonny dan Nik Nazira berkekalan hingga akhir hayat.
OhBulan! masih cuba mendapatkan kenyataan lanjut daripada pelantun lagu Sakit.
Terdahulu, Yonny dan Nik Nazira bertunang pada 19 Oktober lalu di Shah Alam, Selangor, selepas sebulan berkenalan melalui permainan video atas talian.
Sumber: Instagram @yonnyboii, @niknazira