Pengarah dan penerbit Datuk Yusof Haslam mendedahkan dirinya dan isteri, Datin Patimah Ismail tetap akan menjaga ukhwah yang terbina bersama kedua besannya iaitu Megat Kamaruddin dan Paridah Puteh meskipun anaknya, Syamsul Yusof sudah bercerai dengan Puteri Sarah Liyana.
Artikel Berkaitan: ‘Menantu & Besan Sehingga Akhir Hayat Kami’ – Patimah Ismail
Selalu luangkan masa bersama
Ketika ditemui OhBulan!, Yusof atau nama sebenarnya Md. Yusof Md. Haslam berkata, sehingga ke hari ini dirinya dan isteri masih lagi berjumpa dengan kedua ibu bapa Puteri Sarah sekiranya mempunyai masa terluang.
Hubungan keluarga saya dan keluarga Puteri Sarah tak akan terungkai.
Bahkan sehingga ke hari ini, hubungan kami okay saja macam biasa dan ada masa kami akan keluar makan bersama.
Tak ada satu jurang pun antara kami walaupun anak-anak kami sudah berpisah.
Bagi saya, kami dah ada cucu dan cucu itulah yang menguatkan lagi hubungan kami.
Yusof berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem ‘Sheriff’ yang diadakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada malam Selasa.
Dalam pada itu, Yusof memaklumkan dia dan isteri terbuka hati sekiranya Puteri Sarah memilih untuk berkahwin lain di masa yang akan datang.
Bagi saya itu jodoh dia. Kalau Syamsul pun ada jodoh dia (yang lain), Sarah juga ada jodoh dia.
Kami reda dan kita bukanlah nak buang Sarah kalau dia kahwin lain ke, tidak. Dia pun masih boleh beraya bersama kami.
Ketika ditanya mengenai ketiadaan Syamsul sewaktu sambutan Aidilfitri baru-baru ini, penerbit yang terkenal dengan jolokan ‘The Six Million Dollar Man’ tersebut memaklumkan dia dan isteri sama sekali tidak terasa hati dengan tindakan anaknya itu.
Seperti yang kalian tahu Syamsul tak balik beraya dengan kami pada tahun ini.
Tapi tak apa, kami tak ambil hati pun dan kami dah boleh terima benda ini. Semua ini adalah qada dan qadar.
Tambah Yusof, dia percaya rasa sayang Syamsul kepada mereka tetap utuh meskipun anaknya itu sudah lama tidak pulang ke kediaman keluarga mereka.
Tapi saya percaya dia seorang anak, kasih sayang dia pada ibu dan ayah dia tetap utuh.
Biasalah budak muda merajuk kan? Tapi kami memang tak ambil hati.