
Pelakon, Zahirah MacWilson mengakui tumpang gembira dengan penghijrahan ibunya, Maslinda Yusoff yang kini tampil berhijab sepenuhnya.
Artikel Berkaitan: Ibu Zahirah Macwilson Sudah Berhijab – ‘Saya Akan Terus Istiqamah Ke Jalan Allah’
Ikut jejak ibu
Zahirah, 31, berkata ibunya pernah berkongsi hasrat untuk bertudung beberapa bulan lalu lantas dia menyambut baik dan menyokong keputusan tersebut.
Saya tumpang gembira dengannya. Dia ada beritahu saya tentang keinginannya untuk bertudung sepenuhnya beberapa bulan lalu.
Dalam masa sama, dia juga bakal mengerjakan ibadah haji buat pertama kali pada bulan Mei ini. Sama-sama kita doakan agar semuanya dipermudahkan. Saya lihat dia sangat gembira dengan perubahan imej baharunya itu.
Zahirah berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama terbaharunya berjudul Good Boy Go To Heaven yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.
Menurut Zahirah lagi, sebagai anak, dia sentiasa mendoakan yang terbaik buat ibunya dan berharap suatu hari nanti dapat mengikut jejak langkah tersebut.
Bertudung adalah perkara yang baik. Sudah tentu sebagai anak, saya sentiasa mendoakannya. Saya juga berharap mungkin satu hari nanti saya mampu melakukan perkara yang sama, insya-Allah.
Ketika ditanya sama ada timbul rasa bimbang terhadap keberangkatan ibunya ke Tanah Suci, Zahirah tidak menafikan perkara itu, namun memilih untuk menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada ketentuan Ilahi.
Tipu kalau tidak risau, tetapi saya percaya Allah sebaik-baik perancang dan Maha Mengetahui. Insya-Allah, Allah akan melindungi dan menjaganya sepanjang berada di sana.
Terdahulu, Maslinda menerusi hantaran di Instagram memaklumkan dirinya kini sudah berhijab sepenuhnya selain meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan.