Dunia muzik Malaysia terus berkembang dengan pelancaran lagu terbaru berjudul ‘Dunia Indah Bersama’ hasil kolaborasi antara Zawfan dan kumpulan Mirwana.
Artikel Berkaitan: Anak Munif Hijjaz Teruskan ‘Perjalanan’ Legasi Nasyid
Harmoni melalui seni
Lagu ini tidak hanya sebuah karya seni, tetapi juga seruan universal untuk memupuk keharmonian dan menyatukan masyarakat di tengah-tengah perbezaan. Lirik yang ditulis dengan penuh makna oleh Senator Dr. Zulkifli Hasan bersama beberapa penulis lain, termasuk Hafiz Tamizi, Zairudin Hashim dan S?rr Muhammad. Lagu ini membawa mesej perdamaian yang mengingatkan kita semua bahawa dunia menjadi lebih baik apabila manusia saling menghormati dan memahami perbezaan.
Liriknya menekankan nilai-nilai seperti menghapuskan sengketa lama dan memupuk kasih sayang, sesuai dengan tema kehidupan bersama yang damai (At-Ta’ayush). Komposisi muzik yang dihasilkan oleh Hafiz Tamizi dan Fadzli Radzi menyerlahkan keindahan seni sebagai medium dakwah. Melalui melodi yang merdu dan lirik yang puitis, lagu ini menggalakkan kita untuk memupuk kasih sayang dan memperkuatkan persaudaraan. Dunia Indah Bersama adalah hadiah kepada masyarakat, mengingatkan kita bahawa perbezaan adalah anugerah, bukan pemisah.
Projek kolaborasi
Lagu ini turut mendapat sentuhan susunan vokal oleh Sariman daripada kumpulan NowSeeHeart serta menampilkan gabungan suara kanak-kanak yang menjadikannya lebih harmoni. Dirakam di Hotsound Studio, Dunia Indah Bersama mencerminkan usaha kolektif yang murni untuk menyentuh hati pelbagai lapisan masyarakat merentasi bangsa dan agama. Lagu ini kini yang diedarkan secara digital oleh Soofie Media dan Believe Music boleh didapati di pelbagai platform digital seperti Spotify, Apple Music dan lain-lain serta dimainkan di SALAM.fm, IKIM.fm dan stesen radio tempatan di seluruh negara.
Ia diharap akan menjadi lagu tema bagi pelbagai inisiatif pendidikan dan perpaduan di Malaysia. Untuk menikmati pengalaman penuh “Dunia Indah Bersama”, layari platform muzik kegemaran anda hari ini. Semoga irama nasyid dapat dijadikan hiburan yang mendidik jiwa. Mudah-mudahan dengan usaha ini menjadi aspirasi ke arah dunia yang lebih damai, penuh kasih sayang, dan harmoni.