Keunggulan penyanyi bersuara lantang ini di pentas nyanyian sememangnya tidak dapat dinafikan. Malah, bakat lakonannya yang terserlah itu juga telah membuatkan namanya sering meniti di bibir peminat. Kini, setelah lebih 20 tahun, nama Ziana Zain masih gah di persada hiburan tanah air.
Bagaimanapun, ketika ditemubual di sidang media konsert teaterikal ‘Suara Kita’ semalam, Ziana Zain memberitahu bahawa dia ada berhutang dengan para peminatnya dan ingin melangsaikannya pada tahun ini. Hutang apakah yang dimaksudkan oleh Ziana Zain?
Ziana Zain bakal persembahkan lagu-lagu daripada filem Sembilu
Jangan terkejut ya. Hutang yang Ziana Zain maksudkan itu ialah hutang untuk mengubat kerinduan para peminatnya yang sudah lama menantikan kemunculan filem dan album baru daripada wanita jelita ini.
“Peminat selalu bertanya bila agaknya Ziana nak keluar album baru? Mereka juga mahu lihat Ziana, Erra, dan Awie dalam satu filem. Tak payah tunggu filem, ini dah ada teater.
Sekarang, saya sudah dapat rasakan kemanisan untuk berkampung semula dengan kawan-kawan dalam teater ini. Akhirnya, tercapai juga impian itu tahun ini.”
Erra, Awie dan Ziana tonggak utama konsert teaterikal ‘Suara Kita’
Konsert teaterikal ‘Suara Kita’ ini bakal menyaksikan 3 orang bintang filem 90an itu kembali bergandingan untuk mengimbau semula nostalgia kegemilangan zaman tersebut.
“Kebanyakan peminat kami lahir pada zaman itu. Secara tidak langsung, mereka juga akan teringat kisah-kisah zaman muda mereka. Jadi, kami hadiahkan teater ini untuk mereka.”
Antara lagu yang ingin didendangkan oleh Ziana Zain ketika konsert itu nanti ialah Korban Cinta, Tiada Kepastian dan Senja Nan Merah. Bagaimanapun, ianya juga bergantung kepada skrip yang dikendalikan oleh pengarah terkemuka, Erma Fatima.
Dalam perkembangan lain, Ziana Zain kini juga sedang dalam proses pemilihan lagu bersama adiknya, Anuar Zain untuk album solonya yang dijangka akan keluar pada tahun ini juga.
Mahu menatap wajah Ziana Zain lagi? Jom tengok galeri dibawah.