Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah Julai lalu memerintah 18 tertuduh kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan kes prima facie.
Semasa prosiding membela diri semalam, tertuduh pertama, Muhammad Akmal Zuhairi mengaku telah menekap menggunakan seterika wap di bahagian tapak kaki dan lutut mangsa.
Mengaku sapu ubat gamat
Menerusi laporan Bernama, tertuduh mengaku Zulfarhan menjerit kesakitan setiap kali ditekap dan dia tidak melawan. Walaubagaimanapun, tertuduh tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim bahawa tertuduh turut menekap di bahagian lain.
Tambahnya, sepanjang 23 sehingga 26 Mei 2017 tertuduh mengaku menyapu ubat gamat pada bahagian luka dan membawa mangsa ke Klinik As-Salam Bandar Baru Bangi pada 27 Mei. Tertuduh tidak membawa mangsa ke Klinik UPNM kerana ketika kejadian cuti semester.
Semasa di klinik itu saya, Muhammad Afif dan Abdoul Hakeem Mohd Ali (dua tertuduh) masuk sekali ke dalam bilik rawatan. Tiada surat daripada doktor untuk rujuk Zulfarhan ke hospital.
Selain itu, tertuduh tidak bersetuju telah mencucuh sebanyak 18 kali di badan mangsa sehingga mendatangkan 90 kesan. Dia juga tidak bersetuju apabila empat tertuduh yang lain iaitu iaitu Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri juga menekap mangsa berkali-kali secara bergilir-gilir.
Zulfarhan mengaku curi laptop
Julia: Sepanjang Zulfarhan dicucuh dengan seterika, adakah kamu cuba untuk menghentikan perbuatan itu.
Muhammad Akmal: Tidak hentikan.
Kata Muhammad Akmal lagi, Zulfarhan memohon maaf dan mengaku telah mengambil komputer riba. Mangsa juga meminta masa untuk menggantikan semula barang tersebut jadi dia tidak melaporkan kes kecurian kepada pihak atasan.
Julia: Saya katakan kamu tak buat laporan sebab kamu tahu perbuatan kamu memukul Zulfarhan adalah salah dan akan diambil tindakan.
Muhammad Akmal: Saya tak setuju. Kebiasaannya, di UPNM tak ada apa yang berlaku.
Julia: Jadi budaya disitu, pukul orang tak ada apa yang berlaku, curi komputer riba kena buang. Itu yang kamu maksudkan?
Muhammad Akmal: Ya Yang Arif.
Bawa ke klinik
Menurut Muhammad Akmal lagi, mereka bertindak membawa Zulfarhan mendapatkan rawatan di klinik kerana mahu tahu keadaan luka sama ada ada jangkitan atau tidak.
Keadaan Zulfarhan ketika itu baik dan lukanya ada yang beransur pulih serta ada yang berair.
Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif dan Mohamad Shobirin menghadapi pertuduhan membunuh, manakala Abdoul Hakeem didakwa atas pertuduhan bersubahat membunuh Zulfarhan. Manakala 12 lagi tertuduh diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.
Sumber : Sinar Harian, Bernama