Penyanyi Zynakal memberitahu dia tidak kisah apabila segelintir netizen melabelnya sebagai artis yang tidak begitu popular.
Artikel Berkaitan: Terima Komen Muka Tak ‘Handsome’ Tetapi Suara & Lagu Semua ‘Power’, Ini Respons Selamba Zynakal
Artikel Berkaitan: Zynakal Kemalangan Motosikal, Punca Kereta Belok Tak Bagi Signal – ‘Kami Bawa Tak Laju Pun’
Sembilan tahun dalam dunia seni
Menerusi temu bual bersama OhBulan! Zynakal berkata, dia tidak memandang perkara tersebut dari sudut yang negatif berikutan dirinya sudah sembilan tahun berada dalam industri seni. Tambah Zynakal, dia bebas berkarya tanpa berasa tekanan daripada orang-orang di sekeliling apabila perkara seperti itu timbul.
Sepanjang hampir sembilan tahun berada dalam industri, macam-macam perkara saya sudah lalui. Saya sedar posisi saya sekarang. Kalau bercakap mengenai Zynakal, orang mungkin tahu tapi mereka jarang nampak saya. Ada yang kata saya ini artis suam-suam tapi saya selesa dilabel sebegitu. Saya selesa dapat hidup dengan cara saya sendiri.
Pada masa sama, saya sibuk dengan kerja-kerja muzik. Saya suka bila keadaan tidak terlalu havoc tapi kerja tetap berjalan. Saya rasa lebih lapang. Dulu memang saya terkapai-kapai. Orang tak tahu saya buat lagu. Kini, orang sudah tahu kebolehan saya.
Zynakal yang ditemui pada sidang media dan pelancaran lagu OST filem Dajal, baru-baru ini, turut memberitahu bahawa dia tidak suka melakukan gimik atau kontroversi murahan demi menaikkan namanya sendiri.
Ada kontroversi yang sengaja dibuat-buat dan ada yang berlaku secara natural. Jika anda tanya saya, saya lebih suka kontroversi yang berlaku secara natural dan beri impak yang baik. Perkara yang nyata ini lebih seronok.
Melalui pengalaman saya sebelum ini, sewaktu saya buat lagu Sakit, kontroversi yang tercetus kekal sehingga hari ini. Ia berdasarkan kisah yang betul. Cerita fasal sakit yang saya alami. Saya lebih suka kontroversi sebegitu daripada yang dirancang.