Sekitar Julai tahun lalu, dunia hiburan digemparkan dengan berita pernikahan bekas anggota kumpulan Elite iaitu Abby Abadi dengan seorang jejaka bernama Muhammad Noor Farhan Che Bakar.
Hanya dengan perkenalan singkat, kedua-duanya berjaya mengikat tali pernikahan di Thailand selepas dua minggu berkenalan.
Namun, baru-baru ini, kami sempat menjengah ke laman sosial Instagram milik Abby. Lantas, kami terpandang sebuah video yang dimuat naik dan terbaca status Abby yang seolah-olah menggambarkan rumahtangganya kini sedang bergolak.
Melalui status tersebut, Abby telah meminta peminatnya untuk mendoakan dia dan suaminya. Namun, apa yang lebih mengejutkan apabila Abby turut menulis caption ‘Untuk yang terakhir kali’ dihujung statusnya.
Jika melihat kepada video tersebut, ia menunjukkan saat-saat manis dan bahagia Abby bersama suaminya, tetapi muzik latar lagu ‘Kehilangan’ yang digunakan seolah-olah menggambarkan perasaan wanita ini.
Andaian kami dikuatkan lagi apabila Abby membalas komen peminat dengan menunjukkan emoticon dia sedang bersedih.
Malah, Abby turut membalas bahawa dia mengharapkan doa dari semua peminatnya kerana peluangnya tinggal yang terakhir. Persoalannya, peluang apakah yang dimaksudkan Abby?
Dalam pada itu, ramai peminat yang turut mendoakan supaya Abby dan suaminya dapat menyelesaikan masalah mereka tanpa melukakan hati siapa-siapa pun.
Apapun, jika benar rumahtangga Abby sedang bergolak, kami harap Abby dapat bersabar menempuhi dugaan tersebut. Anggap saja ia asam garam berumahtangga, pasti ada naik turunnya. Kami di OHBULAN! turut mendoakan kebahagiaan Abby sekeluarga.