Petang tadi baru sahaja berlangsung sidang media Anugerah Industri Muzik ke-20 (AIM 20) yang mana senarai nama calon-calon akhir anugerah itu telah dimumkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 20, Rosmin Hashim.
Sejak beberapa bulan yang lepas, pihak AIM dengan kerjasama KPMG sebagai juruaudit telah mengadili dan menyenarai pendek sejumlah 594 pencalonan yang layak untuk mengambil bahagian pada tahun ini.
Apa yang menariknya, senarai akhir 5 calon teratas menyaksikan tiga bakat dari program realiti TV, Akademi Fantasia iaitu Hafiz Suip, Hazama dan Amir Jahari mendahului calon-calon lain menerusi 4 pencalonan masing-masing dalam pelbagai kategori yang disertai.
Manakala pendatang baru, Ronnie dari kumpulan Hyper Act dan Najwa Mahiaddin bersaing dengan nama besar seperti Faizal Tahir, Dato’ Siti Nurhaliza dan Jaclyn Victor di dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik di dalam Lagu (Lelaki dan Wanita).
Nama Najwa Mahiaddin turut tercalon dalam AIM 20
AIM 20 juga dilihat bakal membawa kelainan apabila memperkenalkan penambahan kategori baru iaitu Persembahan Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik di dalam Lagu yang akan menyaksikan persaingan antara lagu-lagu popular termasuk Sedetik Lebih dendangan Anuar Zain & Dayang Nurfaizah, In Love with You dendangan Noh Salleh & Aizat Amdan dan Lari dendangan Sleeq & Hazama.
Sementara itu, Dato’ Ramli MS difahamkan akan memikul tanggungjawab sebagai Ketua Juri untuk tahun ini sambil dibantu oleh juri-juri lain seperti Adnan Abu Hassan, Ajai, Aubrey Suwito dan Dato’ Ramli Sarip.
Untuk pengetahuan anda, AIM 20 bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 14 Disember 2013 bermula dengan siaran secara langsung acara ‘Karpet Glamor AIM 20’ pada jam 8.30 malam disusuli dengan siaran langsung majlis penyampaian anugerah AIM 20 pada jam 9 malam.
Bagi yang ingin mengetahui senarai penuh calon akhir AIM 20 atau mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan majlis berprestij ini, sila lawati laman web rasmi AIM.