Pernah tak baca Nota Neelofa di akhbar Metro Ahad? Secara jujurnya, kami juga sering terlepas pandang tetapi hasil tulisannya semalam agak menarik untuk dibaca.
Menggunakan headline Bermusuhan Buang Masa, akal fikiran terus teringat kepada sejarah pertelingkahan Neelofa dengan seorang pelakon popular. Siapa lagi kalau bukan Fazura, kan?
Perang dingin antara dua selebriti popular ini bukan lagi rahsia sejak tahun 2011. Kedua-duanya sering berbalas sindiran secara terbuka di laman sosial seperti Twitter dan Instagram.
Malah baru-baru ini, Neelofa pernah memerli seorang individu dipercayai Fazura dalam salah satu Nota Neelofa baru-baru ini hingga pelakon yang baru membintangi filem Kami Histeria itu panas punggung.
Tetapi semalam, entah mengapa Neelofa terpanggil untuk meluahkan pendapatnya tentang kerugian manusia jika bermusuhan sesama sendiri.
Jelas sekali mereka yang bermusuhan berada dalam kerugian. Tak ada faedah pun bermasam-masam muka.
Bukan apa, bila kita bermusuh, pasti akan timbul perasaan dendam. Bila timbul dendam, pasti akan berlanjutan hingga ke pelbagai lagi kes. Bagi Lofa, bermusuhan bukan pilihan bijak.
Selain hidup dalam kesunyian, mereka yang bermusuhan juga selalunya dirundung masalah. Iyalah, selalu sangat berfikiran negatif, lama-lama diri sendiri merana.
Sebaiknya, berbaik-baiklah kita sesama rakan. Benci, gaduh lama-lama pun tak guna. Buang masa dan tenaga saja. Pendek kata, usah buang masa dengan membenci, sebaliknya semailah rasa cinta itu!
Adakah Neelofa dah penat berperang dingin dengan Fazura dan sedia menamatkan persengketaan mereka secara halus?
Walaupun artikel berkenaan tidak ditujukan khas kepada sesiapa, tapi bagus kalau apa yang ditulis Neelofa dipraktikkan dalam kehidupannya yang sebenar supaya hubungan bekas kekasih Hans Isaac itu dengan sesama rakan artis semakin baik.