Nampaknya semakin panas kontroversi yang mengatakan Aeril Zafrel telah bernikah secara senyap-senyap dengan Wawa Zainal dan kini mereka dipercayai sudahpun mempunyai seorang anak lelaki yang dilahirkan pada Ogos lalu.
Baik Aeril mahupun Wawa, kedua-duanya enggan mengulas lanjut namun David Teo ternyata mempunyai pendapatnya sendiri berkenaan isu ini.
Menurut pemilik syarikat produksi Metrowealth Movies Production atau MIG, sampai bila-bila pun dia tidak akan mengambil Aeril berlakon semula di bawah syarikatnya.
Saya sudah serik dengan sikapnya yang pernah menipu, kononnya pergi belajar agama, tetapi dia pergi berlakon dengan produksi luar. Saya tidak lagi percaya kepadanya dan tidak langsung berminat untuk mengambilnya berlakon di bawah produksi saya. – Berita Harian
Namun berbeza dengan Wawa Zainal, David ternyata sudi menerima pelakon cantik itu semula sekiranya dia sedia untuk kembali berlakon nanti.
Wawa masih muda dan saya faham, wanita dalam usia sepertinya pasti ada melakukan kesilapan. Buat masa ini, saya hanya ingin mendengar penjelasannya berhubung perkara terbabit dan jika dia ingin kembali ke dunia lakonan, saya tetap akan menerimanya dengan hati terbuka.
Dalam masa yang sama, David menyatakan pernah menasihati Wawa dan bertanyakan sama ada mereka benar-benar bercinta ataupun tidak, namun tetap dinafikan Wawa.
Saya sudah berpuluh kali bertanyakan kepadanya adakah benar dia dan Aeril bercinta, tetapi dia tetap menafikannya. Sehingga satu tahap, dia sanggup meninggikan suara kepada saya semata-mata kerana tidak suka dengan nasihat yang saya berikan.
Sejak itu, saya biarkan sahaja sehinggalah dia meminta cuti panjang kononnya mahu berubat akibat penyakit misteri. Rupa-rupanya penyakit misteri lain.
Dalam perkembangan lain, Aeril dan Wawa melalui akaun Twitter milik mereka dilihat lebih selesa membiarkan peminat dan orang ramai berspekulasi tanpa memberikan apa-apa penjelasan.
Untuk makluman anda, pasangan ini dikatakan telah mendaftar pernikahan mereka di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling pada 4 Februari lalu.
Dan pada 24 Ogos pula, Wawa dikatakan telah melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Ahmad Fakharuddin Attar.
Pastinya sekarang ini ramai yang keliru dan tertanya-tanya dengan status sebenar hubungan mereka. Adakah mereka benar-benar sudah berkahwin ataupun ini hanya sekadar gimik untuk filem akan datang?
Mengapakah David Teo masih boleh menerima Wawa dan membuang Aeril sedangkan pelakon ini juga dipercayai telah menipunya?
Apa yang penting, tunggu sahajalah bila Aeril dan Wawa sudah bersedia untuk tampil memberi penjelasan.