Kalau membaca tajuk di atas, pasti ada yang tertanya-tanya siapakah yang direbutkan oleh Intan Ladyana dan Faralyna Idris.
Umum tahu bahawa kekasih Intan adalah Kamal Adli. Manakala Faralyna pula telah putus cinta dengan seorang pelakon baru, Hairul Azreen tidak berapa lama dahulu. Adakah Faralyna cuba merampas Kamal dari Intan?
Harapnya peminat-peminat mereka ini tidak melatah. Memang benar Intan dan Faralyna terperangkap dalam cinta tiga segi tetapi hanya di dalam sebuah drama terbaru berjudul Mencintaimu untuk siaran RTM.
Untuk makluman anda, Mencintaimu mengisahkan tentang konflik cinta antara dua sahabat karib iaitu Natasya (Faralyna) dan Maria (Intan Ladyana) demi memenangi hati Johan (Beego).
Kerana sayangkan kawan baiknya, Maria mengalah. Namun cinta yang disemai antara Johan dan Natasya tidak kesampaian kerana mereka terlibat dalam kemalangan meragut nyawa bakal pengantin perempuannya sewaktu di Malaysia.
Akibat daripada itu, Johan hilang ingatan dan Maria cuba menggunakan kesempatan yang ada untuk menjaga dan kembali menyulam cinta dengan Johan.
Bagaimanapun, seorang wanita yang mirip wajah Natasya bernama Anisa secara tiba-tiba muncul dan bekerja sebaga pembantu peribadi Johan.
Kehadiran Anisa mengubah segala-galanya kerana Johan tidak mampu melawan rasa rindu terhadap wanita itu yang disangka Natasya.
Adakah Maria mampu memenangi hati Johan dengan kewujudan Anisa sebagai pesaing? Mampukah Johan mengingati kisah silamnya kembali? Saksikan drama Mencintaimu pada setiap hari Khamis mulai 3 Oktober 2013 jam 9 malam di TV2.
Selain daripada mereka bertiga, Mencintaimu turut dibintangi oleh Linda Hashim, Azhar Sulaiman, Amar Baharin, Amran Ismail, Raja Ema, Wan Nor Azlin dan ramai lagi.
Apapun, di sini OHBULAN! sertakan beberapa keping foto mereka sepanjang menjalani penggambaran di Korea untuk tatapan anda.