Tahukah anda, dalam filem “Istanbul Aku Datang”, Lisa bakal membawa watak seorang gadis yang periang dan comel?
Diarahkan oleh Bernard Chauly, filem ini menjalani penggambaran di Istanbul, sebuah bandar di Turki yang sangat cantik dengan budaya dan rekaan bangunan klasik dari zaman dahulu. Filem ini mempunyai segala ciri-ciri romantik dan komedi yang mampu menarik dan mengusik hati penonton.
Jika dibandingkan dengan filem “Ombak Rindu” dan “Lagenda Budak Setan”, keduanya mempunyai jalan cerita cinta yang kompak namun hanya sarat dengan kisah sedih dan romantik sesebuah percintaan.
Lain daripada keduanya, “Istanbul Aku Datang” menceritakan tentang seorang gadis bernama Dian (Lisa Surihani) yang sanggup ke Istanbul demi mengejar cintanya yang dilakonkan oleh Tomok (Azad). Kedua mereka telah menjalin hubungan lebih 5 tahun tetapi terpaksa berpisah kerana Azad melanjutkan pengajian. Namun, kedatangannya ke Istanbul hanya menyebabkan diri lebih merana apabila rahsia Azad telah terbongkar. Ouh ya, kami tidak mahu beritahu apakah rahsianya.
Disebalik kedatangannya ke Istanbul, perkenalan Dian bersama seorang pemuda bernama Harris (Beto Kusyairy) telah menyentuh hatinya. ‘Mimpi ngeri’ Dian bermula apabila dia ditipu ketika mencari rumah sewa dan tanpa diketahui, rumah yang sudah pun dibayar deposit selama 3 bulan itu sebenarnya sudah pun mempunyai seorang lagi penyewa iaitu Harris. Perkara ini menyebabkan dia terpaksa duduk serumah dengan seorang lelaki yang tidak dikenalinya.
Berbeza disini, watak yang dibawakan oleh Beto sangatlah berlainan dari filem-filemnya yang lain serta membuka mata peminat bahawa Beto mempunyai sisinya yang lebih lucu. Lakonan Beto juga menimbulkan persoalan, adakah dia mempunyai perasaan terhadap wanita atau pun tidak didalam watak yang dibawanya.
Selain itu, anda pasti tidak akan percaya bahawa Tomok yang merupakan seorang penyanyi boleh membawa watak dengan bagus dan langsung tak terfikir di hati kami bahawa dia adalah seorang penyanyi ketika membawakan watak Azad.
Secara jujur, filem Istanbul Aku Datang adalah sebuah filem yang sangat memuaskan hati. Jika 3 kali ditonton pun anda tidak akan menyesal. Daripada 10 markah, 9 markah harus diberikan.
Filem ini akan mula disiarkan dipawagam pada 8 November 2012 dan bawalah orang tersayang untuk menonton filem ini bersama. Mahu tahu apakah penghujung cerita diantara Dian, Azad dan Harris? Mari tonton trailer rasmi “Istanbul Aku Datang” selepas ini ya!