Nama Radhi OAG atau nama sebenarnya Muhd Radhi Razali memang tidak lekang dari terpalit kontroversi melibatkan najis dadah beberapa tahun lalu.
Namun selepas sekian lama mengalami ketagihan teruk, Radhi mula menyedari kepentingan untuk berubah dan membuat keputusan memasuki pusat pemulihan kelolaan Pengasih pada 2011.
Radhi yang ditemui ketika majlis pernikahan di Shah Alam Jumaat lepas mengakui isterinya, Nur Shahira Ayu Zahiri merupakan salah seorang tunjang utama yang mendorong dirinya untuk berubah.
Artikel berkaitan:
- Nikah Kali Kedua, Radhi OAG Sah Bergelar Suami Kepada Shahira Ayu Dengan Sekali Lafaz
Sejak mula berkenalan kira-kira empat tahun lalu, Radhi terus bertemu dengan ibu bapa Ayu dan menyampaikan hasrat untuk melamar anak gadis mereka.
Sepanjang tempoh berkenaan, keluarga Ayu berusaha membantu Radhi meninggalkan ketagihannya termasuklah berubat dengan bakal bapa mertuanya pada ketika itu.
Perkara pertama yang saya lakukan adalah bertemu ibu bapa Ayu. Alhamdulillah, lama kelamaan mereka boleh terima saya sepenuhnya. Malah, saya pernah berubat untuk membersihkan diri dari dadah dengan ayah Ayu.
Tapi titik tolak yang membuatkan saya untuk masuk Pengasih adalah disebabkan Ayu. Dia cuma cakap macam ni, ‘You cakap je nak masuk, tapi tak buat pun.’ Lepas tu terus saya tekad untuk berubah.
Ditanya mengenai keistimewaan Ayu yang muda 17 tahun darinya, Radhi memberitahu sifat matang dan tenang pada isterinya itu melengkapi diri mereka.
Otak saya dah banyak yang rosak akibat dadah tapi otak Ayu masih segar dan muda. Senang cerita dia macam backup engine kepada saya. Dia seorang yang tenang dan boleh mendamaikan saya jika sedang tertekan.
Sementara itu, Ayu pula memberitahu dia tidak ingin melalui hidup remaja seperti yang pernah dirasai oleh suaminya walaupun menyedari dirinya masih muda.
Radhi ada juga tanya, ‘You tak nak habiskan usia muda dengan enjoy dulu ke?’. Tapi bagi saya tu tak penting, Radhi dah habiskan masa muda dia dengan gila-gila, cukuplah saya cuma dengar cerita dia dan bayangkan sendiri. Lagipun saya bukan jenis macam tu.
Bila tengok dia terlibat dengan dadah, saya jadikan tauladan dan beritahu kawan-kawan jangan terlibat dengan aktiviti tidak sihat macam tu.
Untuk pengetahuan anda, pasangan ini tidak mempunyai perancangan untuk berbulan madu namun menyimpan hasrat untuk mengerjakan umrah bersama suatu hari nanti jika diizinkan Allah S.W.T.
Mengenai majlis resepsi pula, Radhi menetapkan bulan Disember sebagai perancangan paling lewat untuk mengadakan majlis tersebut namun tidak menolak jika dapat diadakan dalam waktu terdekat selepas Hari Raya Aidilfitri.
Dalam masa yang sama, Radhi memberitahu bekas isterinya mengetahui tentang perkahwinan terbarunya ini dan sempat berpesan agar tidak melupakan tanggungjawab terhadap anak tunggal mereka, Muhammad Rifdhi Muslim yang turut hadir menyaksikan pernikahan bapanya tempoh hari.