Jika semalam Umie Aida menulis kenyataan di Twitter-nya mengatakan orang yang cetek pemikiran sahaja berfikir begitu (soal tudung), hari ini melalui mStar Online, Sheila Rusly dan beberapa orang selebriti lain turut tidak bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan oleh Abby Abadi.
Bagi Sheila Rusly yang sudah hampir 5 tahun ‘berhijrah’ memakai tudung, tidak ada isu tawaran berlakonnya semakin merosot dan dia mengaku tidak pernah nampak masalah timbul pada artis bertudung.
“Sudah lima tahun saya bertudung dan rezeki tidak putus sehingga kini. Sebagai pelakon dan penerbit, saya tidak nampak sebarang masalah timbul kepada artis bertudung. Di Malaysia, kita ada banyak saluran televisyen, malah ada saluran Islamik yang membolehkan penghasilan banyak drama berunsurkan Islam. Ini sekali gus memberikan jaminan platform kepada aktres wanita yang sudah bertudung.”
Sheila juga berkeras bahawa isu bertudung tidak wajar dianggap sebagai penyekat pintu rezeki.
“Jadi, tidak wajar isu bertudung dianggap penyekat periuk nasi dan rezeki dalam bidang seni pula. Ada banyak jalan cuma kita perlu bersabar dan terus berikhtiar,” katanya.
Apa yang lebih pasti, Sheila turut memberitahu bahawa niat untuk berhijrah adalah kerana Tuhan. Jika seseorang artis itu mengeluh selepas berhijrah, maka ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.
“Jangan pertikai isu tawaran lakonan atau kerja merosot hanya kerana kita bertudung. Artis terbabit kena sedar niat kita berhijrah ini kerana Allah. Maka, percayalah takkan Allah mahu tutup rezeki jika kita berubah ke arah kebaikan? Kalau seseorang artis mengeluh mengenai nasib dan kesan daripada keputusan bertudung itu, ia seolah-olah mereka tidak ikhlas berhijrah.” – Sheila Rusly.
Antara artis yang turut tidak bersetuju dengan pendapat Abby Abadi di Malaysian Insider termasuklah Aida Khalida dan Wardina Saffiyah.