Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Teman Pengganti, Black atau nama sebenarnya Hanifah bin Md Hanafiah, akhirnya mengesahkan bahawa dia dan pasangan, Cira Khairi atau nama sebenarnya, Naquira Yasira binti Mohd Khairi, 28, bakal bernikah pada 13 September ini, bertempat di Zebra Square, Kuala Lumpur.
Menurut Black, dia memilih tanggal 13 September sebagai tarikh bersejarah dalam hidupnya kerana ingin mendapatkan keberkatan pada hari Jumaat dan dalam masa yang sama, penyanyi tersebut merasakan lebih afdal untuk majlis itu diadakan sebelum masuknya solat Asar pada hari berkenaan.
Sebenarnya saya pilih tarikh tersebut sebab ianya jatuh pada hari Jumaat dan bukannya disebabkan tarikh tersebut mempunyai sebarang makna apa-apa.
Majlis akad nikah juga akan diadakan sebelum solat Jumaat, sebab saya nak dapatkan keberkatan hari tersebut.
Black di samping ibu bapa tercinta, Muslamah Othman & Md Hanafiah
Mengulas lebih lanjut mengenai perkenalan yang terlalu singkat dengan tunangnya itu, penyanyi ini menyifatkan bahawa perkara tersebut bukanlah suatu penghalang untuk dia memikirkan soal jodoh, tambahan pula sebagai seorang lelaki, dia sememangnya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami.
Sekarang ini saya dah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami, jadi debaran untuk melangkah ke alam rumah tangga itu tak terasa sangat.
Saya anggap ini adalah jodoh. Sebelum ini saya memang kenal dengan ramai orang, tapi semuanya tak menepati ciri-ciri yang saya inginkan.
Alhamdulillah, bila kenal dengan dia, saya dapat rasakan dia adalah wanita yang saya idamkan. Di mata saya, dia seorang yang tidak memilih dan masa mula-mula kenal pun dia tak tahu saya ini seorang penyanyi sebab masa itu dia baru sahaja menamatkan pelajarannya di Melbourne, Australia.
Memandangkan sebelum ini Black pernah ditipu oleh perancang perkahwinan, oleh itu penyanyi tersebut mengambil keputusan untuk menyerahkan segala hal berkaitan majlis perkahwinannya kepada syarikat rakaman yang dinaunginya iaitu The 8 Unit dan Monkey Bone.
Artikel Berkaitan :
- Black Rayu Perancang Perkahwinan Pulangkan Duit
- “Memang Saya Telah Bertunang” – Black
- Foto Black Bersama Kekasih Baru?
Untuk makluman, majlis pernikahan dan resepsi penyanyi ini akan berlangsung di Zebra Square, Kuala Lumpur pada 13 & 14 September 2013, manakala majlis keramaian untuk para peminatnya pula akan diadakan di padang PPR Kerinchi, Pantai Dalam, pada 15 September 2013.
Kredit Foto : Suhaizul Izhar