Baru-baru ini sebuah portal hiburan tempatan telah mengeluarkan kenyataan bahawa penyanyi terkenal, Awi Rafael menafikan dakwaan kononnya dia sedang bercinta dengan pelakon dan model jelita, Sasha Saidin.
Berhubung isu tersebut, OHBULAN! telah menghubungi Sasha sendiri bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu terbabit, di mana menurut pelakon itu, dia dan Awi hanya sekadar kawan biasa dan mereka mula rapat sejak bulan lalu, sewaktu bertemu disebuah majlis amal.
Saya dengan Awi cuma kawan biasa. Pertama kali jumpa dia pun dekat sebuah majlis amal pada bulan puasa hari itu. Lagipun majlis tersebut turut dihadiri oleh rakan-rakan artis yang lain.
Sebenarnya dia ada minta tolong saya untuk cari empat orang penyanyi wanita sebab dia nak tubuhkan sebuah girl band. Memandangkan sebelum ini saya pernah ada pengalaman dengan kumpulan Elite, jadi dia minta saya untuk jadi mentor kumpulan tersebut.
Setakat ini kami dah jumpa dua orang ahli dan tengah mencari lagi dua, jadi kalau ada sesiapa yang berminat, bolehlah tweet saya atau Awi sendiri.
Sasha bersama anaknya, Arya
Dalam pada itu, pelakon dan penyanyi ini turut menafikan dakwaan kononnya dia dan Awie pernah keluar berdua serta menegaskan bahawa anaknya, Adam Aryasenna Notosoemarsono langsung tidak pernah bertemu dengan penyanyi tersebut.
Kalau keluar pun, kami keluar ramai-ramai dan berbincang soal kerja sahaja. Tak pernah keluar berdua dan dia pun tak pernah jumpa dengan anak saya.
Tapi, kalau kami nak keluar berdua pun rasanya tak salah sebab kami masing-masing single.
Berkongsi lebih lanjut mengenai hubungan rapatnya dengan Awi Rafael, pelakon ini menyatakan bahawa sebelum ini dia hanya pernah mendengar nama penyanyi tersebut sahaja dan langsung tidak mengetahui kisah peribadi jejaka berkenaan.
Sebelum ini pernah dengar nama sahaja, tak pernah pun tahu pasal dia. Lagipun sebelum ini saya tak mengikuti sangat perkembangan industri hiburan tempatan, tapi sejak mula aktif, barulah saya mula mengenali kawan-kawan baru sebab terjumpa dengan mereka di mana-mana acara.
Tapi saya puji dengan sikap Awi, sebab dia merupakan seorang yang matang dan sangat bekerja keras untuk kerjaya seninya. Dia juga sorang lelaki yang baik dan saya sangat menghormatinya.
Sasha gembira dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta
Beralih kepada soal peribadinya dengan bekas suami Salyo Priyanto, Sasha turut melahirkan rasa sedih kerana tahun ini merupakan kali pertama dia menyambut Aidilfitri tanpa seorang suami di sisi.
Bekas suami saya berada di Indonesia, jadi tahun ini merupakan tahun pertama saya raya tanpa berteman. Tapi saya gembira sebab dapat beraya bersama keluarga di Gombak dan abang saya yang berada di Dubai juga turut balik beraya di sini.
Buat masa ini saya masih lagi cuti sehingga hujung bulan Ogos dan untuk projek terbaru, saya akan terlibat dengan sebuah program realiti TV dan sibuk dengan kerja-kerja peragaan.
Bagaimanapun, di sini OHBULAN! ingin selitkan juga beberapa foto terbaru Sasha bersama keluarganya sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Kredit Foto : Instagram Sasha Saidin