Bertempat di Grand Hyatt, Kuala Lumpur baru-baru ini, telah berlansung satu majlis makan malam amal ‘Pink Jazzy Affair’ bersempena dengan kempen kesedaran kenser payudara dan bertujuan mengumpul dana bagi pesakit-pesakit kanser payudara.
Majlis gilang-gemilang ini disempurnakan oleh Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Almarhum Sultan Abu Bakar selaku tertamu terhormat. Baginda turut berkenan untuk merasmikan ‘Pink Ambulance’ pertama di Malaysia yang bakal memberi kemudahan kepada pesakit-pesakit kanser payudara di sekitar Kuala Lumpur.
Kempen yang mendapat sambutan menggalakkan ini telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM150,000. Sebagai tanda sokongan, Dato’ Siti Nurhaliza bersama Atilia Haron dan Donny Ray Radford dari kumpulan The Platters telah membuat persembahan pada malam majlis ‘Pink Jazzy Affair 2012′ ini.
Apa yang membanggakan adalah, kesemua tiket yang berharga RM 450 sehingga RM1000 telah habis dijual. Ini menunjukkan keperihatinan serta sokongan orang ramai terhadap program amal amat menggalakkan.
Persembahan pembuka tirai telah diserikan oleh Atilia yang mendendangkan beberapa buah lagu hitz dan beberapa lagu pilihannya.
Artis kecil molek ini, turut membuat kejutan dengan berduet bersama ibunya, Salamiah Hassan yang juga pernah menghidapi kanser payudara. Lagu duet bertajuk ‘Wanita’ adalah sebagai tanda sokongan dan dorongan kepada wanita-wanita yang menghidapi kanser.
Tidak terhenti disitu, Donne Ray Radford dari kumpulan The Platters turut membuat persembahan dengan menyampaikan 4 buah lagu secara solo dan diakhiri dengan lagu duet bersama Dato’ siti Nurhaliza dengan lagu bertajuk ‘Endless Love’.
Kemuncak malam amal ini adalah persembahan dari Dato’ Siti Nurhaliza. Menarik apabila Dato’ Siti mendendangkan lagu-lagu hitnya dalam rentak Jazz dengan kerjasama dan iringan dari Aubrey Suwito.
Antara lagu-lagu yang didendangkan adalah Merak Kayangan, Begawan Solo, Debaran Cinta serta ‘medley’ Diari Cintaku dan Kau Kekasihku.
Dewan bertambah gamat apabila, Dato’ Siti Nurhaliza menyanyikan lagu dari Yuna, Terukir Di Bintang dan Skyfall dari Adele dalam rentak jazz. Jelas sekali hadirin yang hadir sangat terhibur dengan persembahan Dato’ Siti Nurhaliza dengan memberi tepukan gemuruh di akhir persembahan.
Para penonton bukan sahaja berhibur malah dalam masa sama beramal dengan membantu pesakit-pesakit kanser payudara. Semoga program seperti ini akan lebih kerap dianjurkan bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan.