Isu ingin merisik penyanyi terkenal Shila Amzah yang pernah dibangkitkan oleh pelakon Sharnaaz Ahmad bukanlah suatu perkara yang baru. Sebelum ini Sharnaaz sendiri pernah mengakui bahawa dia akan menghantar rombongan untuk merisik kekasih hatinya pada bulan Mac akan datang.
Berikutan isu tersebut, bapa kepada Shila Amzah, iaitu ND Lala telah melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan berani Sharnaaz yang dianggap sebagai tidak menghormati dirinya sebagai bapa serta bakal wali kepada anak perempuannya itu.
“Saya dan ibu Shila masih hidup, masih bernyawa, sekurang-kurang hormatilah kami sebagai orang tuanya.”
“Kalau Shila mahu kahwin sekalipun, saya walinya, bukan Sharnaaz yang menentukan itu isterinya,” ujar ND Lala menerusi laporan Harian Metro hari ini.
Dalam pada itu, ND Lala turut berulang kali mengingatkan Sharnaaz supaya jangan biadab dan menasihatkan pelakon tersebut agar mengikut segala adat dan agama kerana berkahwin adalah suatu perkara yang serius.
“Dia (Sharnaaz) mengakui Shila bakal isterinya dan tetap akan merisik, semua itu karut. Jangan keluar kenyataan yang boleh memalukan diri sendiri dan saya percaya keluarga Sharnaaz turut malu dengan tindakannya itu.”
“Ini nasihat saya kepada Sharnaaz, ibu dan bapa Shila masih hidup, kita ada adat dan agama, jadi jangan memandai-mandai.”
“Tolong jangan biadab, hormati kami sebagai ibu bapanya. Ini bukan perkara main-main, melainkan kalau mereka ingin kahwin lari,” tegas ND Lala penuh kesal.