Beberapa bulan lalu, hubungan cinta Adira dengan teman lelakinya, Shahrul Nasrun dikatakan sudah putus selepas penyanyi putih melepak itu memadamkan gambar-gambar kekasihnya di Instagram.
Adira kemudiannya tampil memberi penjelasan mengatakan hubungan mereka masih lagi baik seperti sedia kala namun tidak menafikan memadam gambar Shahrul kerana sebab-sebab tertentu.
Tidak berapa lama kemudian, pelakon cantik, Nelydia Senrose juga dilihat memadam sejumlah besar gambar-gambar Qi Razali di laman sosial yang sama, sekaligus menimbulkan spekulasi mengenai keretakan hubungan mereka.
Namun ternyata tekaan kebanyakan pemerhati dalam industri hiburan salah sama sekali apabila pasangan itu telah meluangkan masa bersama sewaktu menonton konsert Foals secara langsung di ibu negara bulan lalu dan mereka kelihatan cukup mesra sekali.
Bagaimanapun timbul pula desas desus terbaru mengatakan Tasha Shilla dan teman lelakinya yang bernama Hans juga sudah berpisah hanya kerana gambar lelaki tersebut sudah tidak lagi berada di dalam akaun Instagram miliknya.
Menurut sumber-sumber yang sering mengikuti perkembangan pelakon itu, gambar-gambar mereka berdua yang sebelum ini tidak pernah berpisah kemana-mana juga sudah dipadamkan dari Instagram Hans.
Betulkah Tasha sudah berpisah dengan teman lelakinya atau sengaja memadam gambar berkenaan demi menjaga hati pihak tertentu memandangkan pasangan ini sering menerima kritikan dari pengguna laman sosial?
Tapi entah mengapa sejak kebelakangan ini, ramai yang mengaitkan isu padam gambar seseorang dengan petanda hubungan pasangan itu bermasalah. Dah jadi trend, mungkin?